Thursday, November 26, 2009

Profesional Tidak Boleh Bercakap Tentang Agama?


Salam. Timbul sekarang situasi yang mana lahir begitu ramai golongan professional yang menguasai juga bidang agama di samping pakar dalam bidang professional mereka. Sesungguhnya perkembangan ini adalah perkembangan yang sihat dan semoga ianya menjadi ‘bertambah baik’.

Namun, kita kedengaran juga timbul komen dan nasihat dari golongan pengajian agama agar golongan yang dipanggil Profesional Ustaz (Protaz) ini berhati-hati dan berwaspada apabila bercakap mengenai agama terhadap orang ramai.

Mengapa perkara ini timbul? Pasti ada sebab yang menyebabkan timbul nasihat daripada golongan agama ini. Perkara ini seharusnya mempunyai penjelasan yang kukuh agar golongan agama ini tidak difitnah sebagai menyekat pengaruh golongan protaz dan juga niat murni protaz juga dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Ada Pemisahan Profesional Dan Ustaz?

Saya sebenarnya tidak berapa suka menggelarkan dengan apa-apa nama bagi golongan-golongan ini. Kehidupan bersama-sama masyaeikh di Mesir telah memecahkan pemikiran saya dan memberi contoh praktikal yang jelas akan apa yang dimaksudkan dengan penggabungan dua golongan ini.

Kehidupan di Malaysia yang kurang biah ilmu Islamaiyah telah mengajar dan memasakkan ke dalam fikiran kita bahawa ustaz adalah ustaz dan professional adalah professional. Maka apabila berlaku keadaan golongan professional yang sudah mula pandai bercakap berkenaan agama, maka berlakulah konflik yang menyebabkan berlaku salah faham.

Saya tidak mengatakan bahawa golongan agama ini memandang rendah golongan protaz di Malaysia. Tidak sama sekali. Saya yang asalnya pengkhususan sains kemudian terjun ke bidang agama ini amat memahami apa yang sebenarnya berlaku.

Mendalami Agama Dengan Apa?

Ketika mengambil bidang Sains, saya juga amat inginkan untuk menjadi seorang professional yang alim berkenaan agama. Saya mencari dan terus mencari bidang yang boleh memberikan peluang yang luas kepada saya untuk menguasai ilmu dunia dan ilmu akhirat ini. Namun sehinggalah ke akhir SPM, saya masih buntu dalam memilih cita-cita yang sesuai dengan hasrat saya ini.

Alhamdulillah, saya dipandu Allah apabila saya ditemukan dengan seorang murabbi yang telah menunjukkan saya jalan yang saya cari. Saya dapat memahami dengan jelas akan cara yang terbaik malah dapat memberikan saya ruang yang luas untuk mendalami agama.

Ilmu agama berkembang dengan cara yang sama yang diwarisii turun temurun oleh pada ulama mukhlisin. Cara yang paling berkesan tidak lain adalah cara bertalaqqi iaitu belajar berdepan dengan guru agama yang alim. Setelah yakin dengan apa yang Allah telah tunjukkan kepada saya, maka saya memutuskan untuk terjun ke dalam bidang agama ini sehinggalah Allah mencampakkan saya di tempat yang penuh berkat ini.

Ulama Al Azhar Contoh Terbaik


Walaupun saya sudah berada dalam bidang agama ini, namun cinta kepada ilmu sains dan ilmu profesional yang lain masih kuat mencengkam di dada. Jauh di lubuk hati, saya seolah-olah masih lagi berharap dapat mendalami ilmu lain setelah tamat pengajian ilmu agama di Mesir.

Alhamdulillah, syukur pada Allah yang Maha Tahu akan apa yang terbaik buat hambanya, di Mesir saya ditemukan dan disajikan dengan praktikal kehidupan insan yang selama ini saya impikan untuk jadi sepertinya. Para ulama Azhar As Syarif yang terkenal dengan keikhlasan menyampaikan ilmu telah memberikan contoh yang terbaik yang bagi saya patut diperhatikan dan diselidiki kehidupan mereka oleh golongan professional di Malaysia yang mengimpikan untuk menjadi profesional yang fakih agama.

Ulama Al Azhar bukan calang orang. Tidak dinafikan lagi bahawa mereka memiliki ilimu agama yang bertahap Al-‘Allamah (Yang sangat berilmu), Al Muhaddith (Fakih hadith) dan pelbagai lagi tahap ilmu yang hebat.

Ada di kalangan mereka yang menghafaz bukan sekadar Al Quran, malah Kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Menguasai 4 Mazgab Fiqh, pakar dalam pelbagai ilmu agama seperti Tasauf, Tauhid, Hadith, Tafsir dan pelbagai lagi.

Namun, apa yang lebih menginsafkan adalah mereka juga arif dan berasal dari bidang professional. Saya yang pada mulanya menganggap mereka sekadar ulama yang mengajar di Azhar telah dimaklumkan bahawa mereka juga menjawat jawatan professional yang hebat!

Syeikh Ahmad Al Hajain


Sebagai contoh, guru saya Al ‘Allamah Maulana Syeikh Ahmad Al Hajain. Beliau merupakan seorang pakar Fiqh yang menguasai dengan baik fiqh dan qawaid fiqh Syafie dan Maliki. Selain hafaz Al Quran, saya pernah diberitahu (semoga ianya benar) syeikh maulana juga menghafaz kedua-dua kitab Sahih iaitu Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

Ketika mengajar, beliau bukan sahaja menerangkan demi untuk menghabiskan kitab. Malah matlamat utamanya adalah pelajar faham apa yang diajarnya. Jika beliau mengajar Fiqh, kita bukan sahaja mendapat ilmu fiqh malah otak kita juga disajikan dengan ilmu lain yang berkaitan dengan apa yang diajar seperti Ulum Hadith, Nahu Sarf, Tafsir, Qawaid Fiqh dan macam-macam lagi.

Sesuai dengan tahapnya yang mencapai tahap murabbi, disamping beliau mengajar ilmu, teladan dan akhlak yang ditunjukkan juga membuatkan seolah-olah kita juga belajar adab dan akhlak secara praktikal. Diri terasa berubah dan terkesan dengan tingkah laku syeikh yang penuh dengan adab dan sunnah.

Namun, yang lebih menginsafkan adalah apabila saya dimaklumkan bahawa syeikh maulana juga berkerja sebagai sebagai pegawai bank di Kaherah. Patutlah ketika mengajar dalam kelas pada hari Ahad dan Rabu, syeikh akan berpakaian pejabat. Sememangnya syeikh telah menunjukkan teladan dan contoh terbaik sebagai insan yang menguasai ilmu agama dan professional serta menjadi ulama yang diakui dan pula mengajar pelajar agama di Mesir.

Syeikh Yusri Al Hasani

Contoh kedua adalah Al ‘Allamah Maulana Syeikh Yusri Al Hassani. Syeikh maulana yang mempunyai masjid di Muqattam juga seorang pakar Fiqh dan Hadith. Syeikh mengajar di masjidnya setiap Subuh dengan menggunakan kitab-kitab Hadith dan Fiqh yang muktabar. Di Masjid Azhar, syeikh mengajar juga Kitab Sahih Bukhari yang mana setiap kali kelasnya, pelajar yang hadir pastinya ramai hingga melimpah ke luar kelas.

Apa yang mengujakan adalah pada suatu hari ketika sedang mengajar Sahih Muslim, syeikh maulana memaklumkan bahawa syeikh terpaksa menangguhkan kelas kerana mendapat panggilan kecemasan untuk melakukan pembedahan! Subhanallah, syeikh maulana juga bekerja sebagai seorang pakar bedah!!

Syeikh Ali Jumaah


Contoh terakhir yang ingin saya kongsikan ialah Al ‘Allamah Maulana Syeikhul Masyaeikh Ali Jumaah. Syeikh merupakan Mufti Mesir yang juga rakan seperguruan dengan Syeikh Nuruddin Al Banjari iaitu guru mereka Syeikh Yassin Al Fadani. Syeikh digelar dengan syeikhul masyaeikh kerana Syeikh Ahmad, Syeikh Yusri juga masyaeikh yang lain merupakan anak murid kepada syeikh maulana.

Melihat syeikh maulana yang memilki ilmu yang hebat, tidak terfikir langsung bahawa syeikh juga berasal dari bidang ekonomi! Terdapat banyak lagi contoh yang boleh saya berikan di sini, semuanya menunjukkan teladan dan perjalanan hidup yang sepatutnya diikuti oleh sesiapa yang ingin menjadi professional yang alim seperti mereka.

Adakah Mereka Belajar Dengan Waktu Yang Singkat?

Syeikhuna Imam Syafie telah menggariskan antara syarat untuk menuntut ilmu adalah ‘Tuluz Zaman’ iaitu mengambil masa yang panjang. Maka, adakah masyaiekh yang saya sebutkan di atas menjadi hebat begitu dengan melalui tempoh menuntut ilmu yang pendek? Adakah mereka menjadi Al ‘Allamah dengan hanya sekadar membaca kitab secara individu?

Tidak sama sekali! Syeikh Ahmad pada mulanya mengambil bidang ekonomi dan setelah tamat syeikh kembali ke kuliah untuk belajar agama. Begitu juga dengan syeikh yang lain yang mana samada mereka mendalami bidang professional dahulu dan kemudian bidang agama ataupun sebaliknya. Pokok pangkalnya, mereka menghabiskan separuh dari umur mereka untuk menuntuk ilmu.

Kebanyakan ulama Azhar yang mengajar di Azhar kini baru diizinkan mengajar oleh syeikhul masyaeikh Ali Jumaah sekitar 3-5tahun yang lepas. Ketika itu pun mereka sudah menjangkau umur atas 50 tahun. Lihat, mereka menuruti thariq yang benar iaitu belajar talaqqi berguru dengan masa yang lama untuk mendalami ilmu agama, kemudian barulah dibenarkan mengajar dan menyebarkan ilmu.

Islam Milik Ulama?

Melihat kepada contoh ulama di atas, kita dapat melihat betapa bezanya mereka dengan protaz di Malaysia dalam tertib mereka menuntut ilmu dan menyebarkannya. Menjadi trend pelajar di Malaysia untuk mengaji agama dengan sekadar membaca kitab. Persoalannya, adakah ini cara yang betul?

Bagi saya, apa yang ditegur oleh golongan agama kepada protaz itu ada asasnya. Niat protaz itu adalah baik dan sepatutnya disokong. Niat golongan agama juga baik iaitu untuk menegur dan menunjukkan jalan yang betul dalam mendalami ilmu agama. Namun, disebabkan ego telah berlaku salah faham sehinggkan ada yang menyebut bahawa ulama menganggap bahawa Islam itu adalah milik mereka sahaja sehinggakan orang lain tidak boleh bercakap tentang agama.

Situasi ini mirip kepada apa yang berlaku kepada agama kristian di zaman gelap di Eropah. Kristian telah dicop sebagai milik paderi semata-mata maka berlakulah perpecahan di kalangan mereka sehingga timbullah pelbagai version agama Ktistian. Adakah kita ingin menjadi seperti mereka?

Ulama Islam tidak seperti paderi Kristian yang mentafsir dan mengubah ajaran mereka mengikut nafsu. Ulama yang nabi ‘itiraf sebagai waris nabi bertindak sebagai penjaga dan penegur kepada kita yang jahil agar menuruti jalan yang betul dalam kehidupan beragama termasuklah dalam menuntut ilmu.

Bolehkah Seorang Posmen Membedah Pesakit Di Hospital?

Ayat di atas adalah soalan mudah untuk kita memahami persoalan ini. Ada sesiapa yang menjawab persoalan di atas ini dengan jawapan ‘boleh’? Pasti orang yang hilang akal sahaja yang akan menjawab begitu. Sedangkan dalam persoalan dunia pun kita akal kita sudah menolak bahawa mustahil seorang posmen dapat membedah dengan selamat seoarang pesakit, apatah lagi dalam persoalan agama yang jauh lebih utama.

Adakah professional tidak boleh bercakap tentang agama? Siapa kata tidak boleh. Syeikh Ali Jumaah yang professional juga menjadi syeikhul masyaeikh, adakah professional di Malaysia tidak boleh? Semestinya boleh cuma dengan satu syarat mudah. Jadilah orang yang faqih agama dengan melalui jalan yang betul.

Jika seseorang professional itu sudah faqih ilmu agama setelah menuruti thariq ilmu yang betul, belajar berguru dan berterusan dalam belajar agama, maka saya juga teringin sangat ingin mengaji dari mereka.

Cukupkah Menjadi Faqih Dengan Sekadar Membaca?

Menjadi trend kini orang belajar agama dengan sekadar membaca kitab. Adakah ianya mencukupi? Ada juga yang menggariskan boleh mengaji agama dengan sekadar membaca kitab dengan syarat ikhlas. Bolehkah begitu? Sedangkan ilmu sains pun wajib berguru, inikan pula ilmu agama.

Sebagai contoh, siapa yang sedari semasa mereka di tingkatan 4 bahawa rumus tenaga keupayaan berubah kepada tenaga kinetik bagi penyelesaian masalah bola yang jatuh dari satu ketinggian iaitu mgh=(1/2)mv^2 adalah teori yang tidak tepat? Jika mereka yang belajar sekadar melalui buku sahaja, sudah pastinya mereka tertipu dengan rumus ini.

Saya diterangkan oleh guru saya En Wong Kiat Hi bahawa rumus ini sekadar betul dalam kertas SPM namun salah di dalam dunia sains. Ini adalah kerana adalah mustahil tenaga keupayaan pada bola pada satu ketinggian itu akan berubah sepenuhnya kepada tenaga kinetic yang menggerakkan bola itu jatuh.

Ini adalah kerana semasa bola itu jatuh, tenaga keupayaan itu juga berubah kepada tenaga haba hasil pergeseran bola dengan udara dan juga tenaga kinetic pada bola yang kemungkinan berpusing-pusing ketika jatuh. Teori mgh=(1/2)mv^2 hanya tepat ketika dalam keadaan vakum sahaja.

Sedangkan dalam ilmu sains kita boleh salah faham yang besar jika sekadar belajar dengan buku, inikan pula dalam ilmu agama. Contohnya, dalam hadith mafhumnya “Barangsiapa yang menyebut Lailaha Illallah, terpeliharalah dariku harta dan diri mereka kecuali apa yang boleh diancam dengan hak.

Jika sesiapa yang sekadar membaca hadith ini akan berlaku fitnah dan salah faham kepada Saidina Abu Bakar As Siddiq R.A dengan tindakan baginda yang melancarkan perang kepada mereka yang tidak membayar zakat selepas kewafatan nabi sedangkan mereka masih Islam. Hadith ini hanya akan difahami dengan kita belajar secara berguru yang akan menerangkan kepada kita perbahasan hadith ini mengikut sirah dan usul fiqh yang tepat.

Lebih Suka Jalan Mudah

Namun, kita dapati mereka yang ingin menjadi professional ulama ini lebih suka mengambil jalan mudah. Membaca kitab dan memahami isi kandungan kitab secara zahir dan mengikut kefahaman sendiri adalah tindakan yang sangat tidak bertanggugjawab. Kesannya, akan berlaku salah faham yang besar yang menyebabkan berlaku kekeliruan dalam memahami agama.

Perkara ini akan bertukar menjadi perkara yang merosakkan lagi apabila kefahaman yang salah ini disebarkan kepada masyarakat atas nama ‘sesiapa pun berhak menyebarkan agama Islam’ ataupun ‘dakwah milik semua’

Tidak dinafikan bahawa ilmu agama boleh juga didapati dengan bacaan, namun perlu diistisna’kan di sini pada perkara dan ilmu usul dalam Islam. Ilmu sejarah yang asas dan juga ilmu-ilmu furu’ lain memang boleh didapati dengan bacaan. Begitu juga membaca untuk mengulangkaji ataupun sekadar untuk mendapatkan tasawur awal sebelum pengajian. Namun, jika bacaan itu dijadikan asas untuk mendalami ilmu agama, ia adalah salah. Ilmu-ilmu yang lebih mendalam terutama yang melibatkan fatwa dan ijtihad waqiei adalah terlalu bahaya jika kita semberono mendapatkannya sekadar melalui bacaan tanpa melalui proses talaqqi berguru.

Ilmu Dan Fatwa, Adakah Sama?

Lebih mengawatkan keadaan apabila ilmu yang difahami secara salah ini disebarkan kepada masyarakat. Ramai yang menganggap bahawa bila kita sudah ada ilmu hatta yang kita dapati dari bacaan semata-mata boleh disebarkan dan dijadikan asas untuk kita berfatwa dan berjidal. Budaya ini hanya akan merosakkan ilmu.

Ya, setiap orang boleh berdakwah. Namun, jika tiada ilmu maka pendakwah itu sepatutnya berdakwah kepada perkara-perkara asas sahaja seperti seruan ibadah dan amar makruf nahi mungkar, tidak sampai kepada menyebarkan ilmu yang dia pun tidak tahu. Setiap orang boleh menyebarkan ilmu, ya benar. Namun biarlah dia menjadi ahli dan faqih dalam ilmu Islam sebelum berani menyebarkannya.

Setiap yang sedar dan ikhlas dalam menuntut ilmu akan menyedari hakikat ini. Mereka tidak akan mudah untuk menyampaikan ilmu dan memberi fatwa sewenang-wenangnya selagi tidak mendapat kebenaran dari gurunya. Mereka amat berhati-hati kerana mereka sedar jika apa yang disampaikan itu berlawanan dengan ajaran Islam, maka ancaman neraka menanti mereka. Setiap orang yang ada ilmu, tidak semestinya dia boleh mengeluarkan ijtihad dan fatwa.

Saya boleh berlapang dada dan bersetuju jika mereka yang mendapat ilmu sekadar melalui bacaan ini menyebarkan ilmu pada perkara furu’ yang tidak memerlukan penelitian ilmu yang mendalam. Namun bila golongan ini berani menggunakan ilmu yang difahami secara salah itu untuk berjidal dan mengeluarkan fatwa malah mereka juga menyalahkan ulama dan mujtahid terdahulu dengan menggunakan hujah akal mereka yang dangkal, perkara ini adalah serius dan boleh merosakkan agama dan perpaduan umat Islam.

Sudah keluar pendapat bahawa ilmu Usul Fiqh itu sesat, tidak perlu belajar Bahasa Arab jika mahu faqih agama, hadith dhaif menyamai hadith maudhu dan banyak lagi dari mulut mereka. Perkara ini adalah amat merbahaya dan mereka perlu sedar akan apa yang mereka akan tanggung sekiranya apa yang mereka katakan ini menyalahi ilmu Islam.

Belajarlah Agama Sebelum Menyebarkannya

Kesimpulannya, sesiapapun boleh menyebarkan agama Islam yang suci ini selagi mana apa yang disebarkan itu berdasarkan kefahaman ilmu yang mantap dan benar. Bagi golongan professional, saya seru untuk antum terjun juga ke lembah ilmu Islam dan pelajarinya dengan thariq yang betul agar antum menjadi seorang umat Islam yang hebat.

Akan tetapi, jika ego kuasai diri, memperuntukkan masa untuk berguru dan mempelajari ilmu itu dianggap sebagai membazir masa dan memendekkan masa untuk berjuang, maka dia sendiri sudah menafikan sunnah orang menuntut ilmu, inginkan ilmu dengan jalan mudah dan bertentangan sama sekali dengan syarat menuntut ilmu seperti yang dikatakan oleh imam Syafie, maka dia ini samalah seperti seorang posmen yang ingin membedah pesakit di hospital.

1 comment:

Puteri said...

salam sejahtera.

semasa sy mula2 mmbaca tjuk entry ini, sy fikir ianya ala2 entry yg prnh sy hsilkn di http://puteri88.blogspot.com/2009/11/malaysiaku-kini.html (skdr sbg rjukn, he..)

rupanya ia agk lain. tp sama hala.

nnt ada masa mgkin saudara ble bwt entry tajok "professional atau tidak, tidak boleh bercakap tentang agama TANPA TAULIAH"

oh... pastinya menarik!
;-)