Sunday, July 10, 2011

Makluman Lengkap Umrah Bersama Ust Nazrul Nasir

Assalamualaikum. Alhamdulillah, kini tinggal 2 minggu sahaja lagi sebelum kita akan berangkat menunaikan ibadah umrah dan menziarahi kekasih tercinta, Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, setakat ini semua urusan berjalan lancar. Passport semua peserta sudah dihantar ke Malaysia untuk diproses dan insyaAllah tiada apa-apa masalah berlaku berkenaan dengan pengurusan visa umrah di Malaysia.

InsyaAllah, saya akan memberikan maklumat berkenaan jaulah umrah ini. Diharapkan semua peserta mengambil ihtimam akan makluman ini dan bertindak seperti yang sepatutnya.

Keberangkatan Ke Tanah Suci

Keberangkatan ke Tanah Suci adalah pada 23 Julai 2011 dengan menaiki pesawat Saudi Arabian Airlines (SV) 308 pada jam 0145 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Jeddah pada jam 0455. Berikut adalah peringatan penting berkenaan dengan urusan keberangkatan ini :
• Semua peserta diwajibkan berada di airport pada jam 9.00 malam 22 Julai 2011.
• Untuk makluman bahawa kita bertolak bersama-sama dengan 66 orang peserta dalam satu penerbangan. Maka, urusan check in, taklimat, pengagihan passport dan tiket tidak semudah urusan penerbangan peribadi. Para peserta amat diharapkan tidak menyusun masa sendiri dan mematuhi arahan pihak pengurusan untuk berkumpul awal agar tidak timbul sebarang masalah di airport.
• Digalakkan juga agar para peserta tidak membawa ramai pengiring ke airport. Ini untuk mengelakkan kesesakan di airport.
• Untuk peserta dari muhafazah, dinasihatkan dapat berada di Kaherah terlebih awal ataupun menyusun masa dengan mengambil kira masalah yang berkemungkinan berlaku di pertengahan jalan.
• Sebarang kelewatan yang berpunca daripada kesilapan para peserta sehingga menyebabkan tertinggal penerbangan, pihak pengurusan tidak akan bertanggungjawab dan bayaran umrah yang telah dibayar tidak akan dipulangkan.
• Di airport, akan diadakan taklimat ringkas berkenaan penerbangan, penyerahan passport, tiket, dan barangan cenderahati.

Setibanya di Jeddah, kita akan bergerak ke Madinah Al Munauwarah dengan menaiki dua bas (satu bas 33 orang). Semua peserta akhawat (24 orang) beserta musyrif (6 orang) dan 3 petugas menaiki satu bas dan bakinya menaiki bas yang lain. Kita dijangka bertolak dari Jeddah pada jam 6 pagi dan tiba di Madinah pada jam 1-2 petang. InsyaAllah kita akan berhenti rehat di pertengahan perjalanan dan setiap peserta akan diberikan SAR 10 sebagai duit poket untuk belanja makan dan minum.

Di Madinah Al Munauwarah

Kita akan menginap di hotel Ritaj Al Haramain yang terletak kira-kira 5 minit berjalan kaki dari Masjidil Nabawi. Setelah check in dan berkemas, kita akan bersama-sama bergerak ke Masjid Nabawi untuk menziarahi Rasulullah SAW dan solat Zohor.

Selepas solat Asar, pihak pengurusan mencadangkan kepada peserta untuk menziarahi Masjid Quba’ untuk mendapatkan fadhilat ziarah Masjid Quba’ pada hari Sabtu. Ziarah ini tidak termasuk di dalam pakej kerana ziarah Masjid Quba’ sudah sedia tersenarai di dalam aktiviti jaulah Madinah yang dijadualkan pada hari Isnin 25 Julai 2011. Ziarah ini khas untuk meraikan fadhilat dan para peserta bebas untuk memilih samada untuk sertai atau tidak. Pihak pengurusan akan mengiringi dan menguruskan kenderaan kepada peserta yang berminat. Bayaran kenderaan adalah sekitar SAR 10-12.

Berikut adalah jadual harian di Madinah Al Munauwarah :
3.00 pagi : Bangun tidur, Qiamulail di Masjid Nabawi, Solat Subuh.
6.00 pagi : Ziarah Baqi’, bacaan Syamail Muhammadiah, sarapan.
8.00 pagi : Aktiviti bebas
12.00 tghri : Bersiap solat Zohor, solat Zohor
1.00 ptg : Makan tengah hari, aktiviti bebas.
3.00 ptg : Bersiap solat Asar, solat Asar, bacaan Syamail Muhammadiah, aktivit bebas.
6.45 ptg : Bersiap solat Maghrib, solat Maghrib.
7.30 mlm : Makan malam, solat Isya, aktiviti bebas.

Aktiviti jaulah Madinah akan diadakan pada Isnin, 25 Julai 2011. Para peserta diminta berkumpul di lobi hotel pada jam 7.00 pagi. Antara tempat yang akan dilawati :
• Uhud
• *Masjid Tikar
• *Gua Uhud
• Masjid Quba
• Masjid Qiblatain
• Masjid Tujuh (kawasan perang Khandak)
• Bazar/ladang kurma
• Kilang Al Quran
• *Medan Magnet
*tertakluk kepada kepada perbincangan dengan pihak muasasah

Program ziarah ulama adalah bergantung kepada keadaan dan kelapangan para masyaikh. Jika berkesempatan, program ini akan dimaklumkan secara on-call dan para peserta diminta sentiasa bersiap sedia. Setiap ziarah hanya akan disertai oleh 10 orang ke bawah. Ini bermakna program ini akan diadakan secara berperingkat dan semua peserta hanya akan menyertainya sekali sahaja sepanjang jaulah umrah ini. Agihan kumpulan program ziarah ulama ini akan dimaklumkan di sana nanti.

Bertolak Ke Mekah Al Mukarramah
Pada hari Jumaat 29 Julai 2011, kita akan meninggalkan Madinah untuk bertolak ke Mekah. Di sebelah paginya selepas menziarahi perkuburan Baqi’, kita akan mengadakan majlis Khatam Bacaan Syamail Muhammadiah di kawasan luar Masjid Nabawi. Setelah sarapan pagi, para peserta diminta berkemas dan melakukan apa juga aktiviti terakhir sebelum kita meninggalkan Madinah.

Pada pukul 12.00 tengah hari, para peserta akan menunaikan solat Jumaat dalam keadaan barangan semua telah siap dikemas. Selepas solat Jumaat, para peserta boleh melakukan wida bersama Rasulullah SAW, pulang ke hotel dan makan tengah hari. Tepat jam 2.00 petang, kita akan check out dan terus bertolak ke Mekah.

Kita akan singgah di Zul Hulaifah iaitu di Masjid Bir Ali untuk bermiqat, mandi sunat ihram, solat sunat ihram dan berniat ihram serta umrah. Para peserta akan dibimbing oleh para petugas. Setelah itu, kita akan bertolak ke Mekah dan akan singgah di pertengahan perjalanan untuk berehat. Setiap peserta akan diberikan duit pokej SAR 10 untuk makan dan minum.

Di Mekah Al Mukarramah

Kita dijangka tiba di Mekah pada jam 9-10 malam. Di sana, kita akan menginap di hotel Dar Al Layiathi iaitu di kawasan utara Marwah, dengan jarak kira-kira 10-12 minit berjalan kaki. Setelah check in, kita akan terus ke Masjidil Haram untuk melakukan umrah pertama. Umrah berkumpulan ini akan dilakukan dengan membahagikan para peserta kepada enam kumpulan, setiap kumpulan terdiri daripada 7 ikhwah dan 4 akhawat. Setiap kumpulan akan dibimbing oleh petugas di sepanjang ibadah umrah.

Berikut adalah jadual harian di Mekah Al Mukarramah untuk 30 dan 31 Julai 2011 :
3.00 pagi : Bangun tidur, Qiamulail di Masjidil Haram, Solat Subuh.
6.00 pagi : Sarapan, aktiviti bebas
12.00 tghri : Bersiap solat Zohor, solat Zohor
1.00 ptg : Makan tengah hari, aktiviti bebas.
3.00 ptg : Bersiap solat Asar, solat Asar, aktiviti bebas.
6.45 ptg : Bersiap solat Maghrib, solat Maghrib.
7.30 mlm : Makan malam, solat Isya, aktiviti bebas.

Berikut adalah jadual harian di Mekah Al Mukarramah untuk 1 - 5 Ogos 2011 (bulan Ramadhan) :
2.30 pagi : Bangun tidur, sahur, Qiamulail di Masjidil Haram, Solat Subuh.
6.30 pagi : Aktiviti bebas
12.00 tghri : Bersiap solat Zohor, solat Zohor
1.00 ptg : Aktiviti bebas.
3.00 ptg : Bersiap solat Asar, solat Asar, aktiviti bebas.
6.45 ptg : Bersiap solat Maghrib, berbuka dan solat Maghrib, aktiviti bebas
8.30 mlm : Solat Isya, solat tarawikh, makan malam, aktiviti bebas.
*Makan berat hanya akan disediakan selepas tamat solat Tarawikh. Berbuka adalah dengan makanan ringan di dalam Masjidil Haram

Aktivit Di Mekah Al Mukarramah
Aktiviti pertama adalah jaulah di sekitar kawasan Masjidil Haram pada hari Sabtu, 30 Julai 2011. Tempat yang akan dilawati adalah :
• Sekitar Masjidil Haram (kawasan Dar Al Arqam dan Dar An Nadwah)
• Tempat kelahiran Rasulullah SAW
• Perkuburan Ma’la
• Masjid Jin
• Masjid Syajarah

Aktiviti kedua adalah ekspidisi mendaki Jabal Nur dan menziarahi Gua Hira’ pada hari Ahad, 31 Julai 2011. Semua peserta diminta menunggu di lobi hotel pada jam 6.30 pagi iaitu selepas sarapan. Perjalanan ke Jabal Nur memakan masa selama 15 minit dan pendakian naik dan turun memakan masa selama 2-3 jam. Para peserta boleh memilih untuk tidak menyertai jika mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Aktiviti ketiga adalah umrah berkumpulan yang kedua pada 1 Ogos 2011, selepas solat sunat Tarawikh. Para peserta dikehendaki pulang untuk makan malam di hotel setelah tamat 8 rakaat solat Tarawikh. Selepas makan malam, para peserta akan bergerak mengikut kumpulan seperti umrah pertama ke Tan’im untuk berihram dan terus kembali ke Masjidil Haram untuk melakukan umrah.

Aktiviti keempat adalah merupakan jaulah yang pertama di Makkah iaitu di kawasan Manasik Haji pada 2 Ogos 2011. Semua peserta diminta menunggu di lobi hotel pada jam 7.00 pagi. Antara tempat yang akan dilawati adalah :
• Jabal Thur
• Arafah, Jabal Rahmah, Masjid Namirah, Lembah Urnah
• Muzdhalifah, Masjid Masy’aril haram
• Lembah Muhassir
• Mina, Masjid Al Khaif, Gua Mursalat
• Jabal Nur

Aktiviti kelima adalah merupakan jaulah yang kedua di Makkah iaitu di kawasan Hudaibiyah pada 3 Ogos 2011. Semua peserta diminta menunggu di lobi hotel pada jam 7.00 pagi. Antara tempat yang akan dilawati adalah :
• Hudaibiyah, Syumaisi
• Ladang Unta
• Muzium Dua Masjid
• Kilang Kiswa Kaabah

Aktiviti keenam adalah umrah berkumpulan yang ketiga pada 3 Ogos 2011, selepas solat sunat Tarawikh. Perlaksanaannya adalah sama seperti umrah kedua.

Program ziarah ulama di Makkah adalah seperti di Madinah. Peserta yang sudah sertai program ziarah ulama di Madinah tidak akan diaturkan lagi untuk program yang sama di Makkah.

Berangkat Pulang

Hari Jumaat 5 Ogos 2011 merupakan hari terakhir kita di Makkah. Maka peserta dinasihatkan untuk berkemas awal dan melakukan apa jua aktiviti terakhir sebelum menjelang Maghrib hinggakan para peserta akan berbuka dan menunaikan solat Maghrib di Masjidil Haram dalam keadaan telah siap berkemas sepenuhnya.

Para peserta dikehendaki menunaikan solat Maghrib di Masjidil Haram dan terus melakukan tawaf wida’ selepas solat. Setelah itu, para peserta dikehendaki kembali ke hotel dan makan malam. Tepat jam 9.00 malam, kita check out dan bertolak ke Jeddah. Kita akan menaiki penerbangan Saudi Arabian Airlines (SV) 339 pada 6 Ogos 2011 jam 0225.

Penerbangan dijangka tiba di Kaherah pada 0330 pagi. Diharapkan para peserta dapat mengaturkan sendiri pengangkutan pulang ke tempat masing-masing. Semoga selamat tiba dan mendapat umrah mabrurah insyaAllah.

Keperluan Yang Perlu Dibawa

Berikut adalah keperluan yang perlu dibawa semasa jaulah umrah :
• Pakaian untuk dua minggu
• Ubat-ubatan
• Wang belanja (USD 100 adalah sangat mencukupi)
• Barangan kebersihan
• Cermin mata gelap (untuk mengelakkan sakit mata kerana cuaca yang terik)
• Syal, serban atau menutup kepala (bagi lelaki, mengelakkan pancaran terik pada kepala)
• Kamera
• Telefon bimbit (simkad boleh dibeli di Saudi)
• Pil penahan haid (digalakkan untuk akhawat, hukum menggunakannya adalah harus seperti yang dijawab oleh masyaikh di Jami’ Azhar)
• Buku-buku panduan umrah (selain yang disediakan oleh pihak pengurusan)
• Hardisc atau pendrive yang mempunyai ruang minimum 5 GB (untuk menyimpan file video dan gambar sepanjang jaulah umrah ini yang akan kami berikan secara percuma)

Persiapan Sebelum Berangkat Ke Tanah Suci

Berikut adalah persediaan yang perlu dilakukan sebelum berangkat ke Tanah Suci :
• Perbanyakkan ibadah dan membaca Al Quran agar dapat membiasakan diri untuk menunaikan ibadah yang banyak di sana.
• Perbanyakkan puasa sunat agar dapat biasakan diri berpuasa di Tanah Suci yang bercuaca panas dan kering (suhu sekitar 45-50 darjah)
• Melakukan sebanyak-banyakkan taubat dan tambahkan kekuatan mujahadah daripada melakukan perkara mungkar agar hati dan jiwa kita lebih bersedia untuk menjadi tetamu Allah.
• Memastikan diri disiapkan dengan ilmu umrah yang betul agar ibadah umrah dapat dilakukan dengan sempurna dan terbaik.
• Banyakkan membaca dan menghafaz doa-doa mustajab yang akan dibaca di sana.
• Bagi yang tidak mengikuti daurah umrah bersama Ust Nazrul pada 20 Mei 2011 lepas, boleh mengikuti rakaman Daurah Umrah 1 dan Daurah Umrah 2 di Youtube.
• Kami mendapat makluman bahawa cuaca di Tanah Suci sepanjang kita di sana nanti adalah sangat panas, sekitar 45-50 darjah. Maka, kami amat menggalakkan agar para peserta terutama yang mempunyai masalah tidak tahan panas untuk mengambil suntikan umrah di mana-mana markaz sihah di kawasan masing-masing sebagai persediaan untuk menghadapi cuaca panas ini. Kos suntikan adalah LE 50
• Berbincang dengan kawan-kawan yang turut menyertai umrah untuk menempah kenderaan ke airport dan semasa tiba dari Jeddah.
• Merancang perjalanan bertolak ke airport agar tidak kelewatan masa.
• Menyediakan semua keperluan yang akan dibawa ke Tanah Suci sehari sebelum bertolak.

Barangan Dan Cenderahati Dari Kami

Berikut adalah barangan keperluan dan cenderahati yang akan kami berikan kepada setiap peserta secara percuma :
• Beg sandang umrah
• Kitab Syamail Muhammadiah (digunakan untuk bacaan kitab di Madinah)
• Kitab mini panduan umrah (edisi fotostat disebabkan berlaku masalah untuk penghantaran buku panduan dari Malaysia)
• Kitab berkenaan sirah Makkah, Madinah dan kawasan sekitar (edisi fotostat)
• Pamplet tentatif dan waktu solat di Tanah Haram
• Pen dan buku catatan
• Name tag umrah
• Duit makan semasa perjalanan Jeddah-Madinah dan Madinah-Makkah
• File video dan gambar sepanjang program umrah
• Satu tong air zamzam 10L

Pada ketika ini, jika berlaku sebarang pembatalan, tiada wang yang akan dipulangkan. Ini adalah kerana semua urusan berkaitan dengan umrah ini sudah dijalankan oleh kami.

Sekian sahaja untuk kali ini. Ini merupakan makluman terakhir sebelum keberangkatan kita ke Tanah Suci. Diharapkan semua peserta dapat menghadapi peperiksaan dengan baik dan dapat bersedia untuk menjadi tetamu Allah. Sebarang masalah, boleh terus berhubung dengan Mohd Azrul Azuan bin Idris +2011 1053999. Semoga segala perancangan kita berjalan lancar dan dibantu Allah, insyaAllah. Jazakumullah.



No comments: