Monday, October 19, 2009

Sorotan EGM Umno : Benarkah Pendukung Sekular Sama Taraf Seperti Haiwan?

Salam. Dikesempatan ini, saya ingin mengulas berkenaan satu isu lama yang tercetus di fikiran saya malam tadi untuk mencoretkannya di dalam blog saya. Isunya adalah berkenaan pihak sekular di negara kita yang sering dilabelkan dengan pelbagai jenis haiwan oleh sesetengah pihak.

Minggu lalu UMNO selamat mengadakan EGMnya yang dijalankan khusus untuk meminda perlembagaan UMNO demi menjadikan parti itu bertambah demokratik dan merefomasi UMNO agar menjadi parti yang kuat dan diterima rakyat.

Saban tahun saya ikuti perkembangan perhimpunan agong UMNO dan menantikan satu harapan iaitu penyelesaian muktamad yang boleh dijadikan ubat kuat buat UMNO yang dilihat kini semakin dimamah usia dan hampir-hampir ditalqinkan pada PRU12 lalu.

Namun, setiap tahun itulah saya kecewa melihat parti Melayu ini yang seolah-olah buta dan tidak pandai dalam menilai maajun yang mujarab untuk penyakit tuanya itu. Penantian saya hanya sia-sia pada tahun ini apabila UMNO dalam EGMnya langsung tidak terlafaz usul berkenaan ubat mujarab ini.

Yang kedengaran hanya usul-usul berkenaan cara pemilihan dan penghapusan kouta, laungan retorik yang menggegarkan tiang PWTC, laungan gagasan 1Malaysia dan pelbagai lagi gagasan yang tidak tahulah adakah ia sekadar manis di mulut atau benar-benar ikhlas.

Antara yang disebut Tok Jib kita adalah UMNO merupakan parti yang haq dan menepati perjuangan sebenar. Ini bukan kata-kata baru, lafaz ini juga pernah dilafazkan oleh Presiden UMNO sebelum ini. Namun, di sebalik kata-kata seperti ini, UMNO masih ditakuk lama, masih tidak berubah malah masih tidak lalu untuk mengambil tonik yang paling mujarab yang disediakan oleh 'Tabib' yang Maha Hebat.

Bagi saya, pindaan perlembagaan UMNO itu hanya pindaan pada perkara yang picisan, perkara ranting yang sama sekali tidak akan mengubah nasib UMNO di masa akan datang. Ibarat UMNO sebuah kereta sorong yang di'welding'kan lambang Mercedes di hadapannya dan dicanangkan kepada oarang ramai, "ini kereta Mercedes".

Ubat mujarab yang saya maksudkan ialah 'Buang sekular, beralih kepada Islam sebagai penyelesaian'. Perkara ini bukan baru. Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) berulang kali menyebutnya terutama di sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN). "Kalau UMNO nak Kelantan, tidak perlu bergaduh atau berperang. Tukar otak dari kebangsaan kepada Islam, kami serah terus Kelantan kepada UMNO".

Amat mudah untuk UMNO melakukannya. Hanya dengan mengusulkan usul menggantikan asas perjuangan UMNO daripada kebangsaan kepada Islam. Kemudian diserapkan perlaksanaan dasar itu dalam pentadbiran negara melalui kementerian-kementerian. Mentarbiyah rakyat sedikit demi sedikit sebagai persediaan melaksanaan hukum Allah secara menyeluruh di Malaysia.

Namun, EGM UMNO pada tahun ini, masih memperlihatkan UMNO masih lagi bongkak dengan sikapnya yang menolak Islam. Kita melihat kesannya pada negara kita setelah UMNO memerintah Malaysia selama 50 tahun dengan berpandukan kitab sekular yang diwasiatkan oleh sang penjajah.

Pembangunan di Malaysia saya lihat tidak banyak bezanya dengan tamadun lama Rom dan Parsi. Memang hebat dari segi infrastuktur dan ekonomi. Namun, isinya tiada. Isi mentauhidkan Allah, menjalankan syariat Islam dan pengamalan akhlak Islam amatlah kurang. Formula 'Amar Makruf Amar Mungkar' yang dipegang UMNO benar-benar racun yang merosakkan rakyat yang dapat kita lihat dengan mata kepala sendiri.

Tidak perlulah saya menyenaraikan kerosakan yang dimaksudkan. Anda sendiri mampu untuk memikirkan dan merenungkannya dengan ikhlas. Bagi pembaca yang memandang dan menilai politik UMNO dengan rasa taksub dan fanatik, saya yakin mereka akan menafikan apa yang saya katakan, namun saya terlebih yakin bahwa hati nurani mereka akan mengiakan semua ini.

Maka, saya tidak menolak kemungkinan bahawa ajal UMNO semakin tiba. Tandanya semakin jelas. Si tua yang mengidap penyakit kronik masih sombong menolak ubat yang diberikan oleh 'Tabib' yang Maha Berkuasa. Apakah lagi kesudahannya menurut uruf adat kita melainkan Izrail akan datang menjemputnya tidak lama lagi?

Saya tetap menyeru perkara yang sama. Saya melawan UMNO bukan kerana ia UMNO, tapi kerana UMNO tolak Islam. Formula mudah agar UMNO kembali kuat dan diterima rakyat hanyalah dengan mengubah dasar sekular kepada Islam. Jika ini berlaku, saya juga akan tampil mempertahankan UMNO.

TNGA dahulunya pernah menyamakan perjuangan UMNO dengan Orang Utan dan macam-macam lagi gelaran. Maka, bangunlah pendekar keris UMNO dan juak-juaknya menafikan dan bertempik di luar istana marahkan TNGA. Namun, bila dibuka pintu dan dijemput dengan penuh hormat ke dalam istana untuk bertikam hujah, tiada pula pendekar yang tampil.

Ada yang bertanyakan saya, wajarkah TNGA yang bertaraf ulama melafazkan kata-kata begitu? Saya tidak berhak untuk mengulas kata-kata TNGA kerana saya tidak tahu prkataan asal yang dilafazkannya. Namun, saya ingin mengulas dari beberapa sudut. Saya ingin jelaskan terlebih dahulu bahawa dalam penulisan saya, bila saya sebut UMNO, bukan bermakna UMNO secara keseluruhannya. Tapi, UMNO yang dimaksudkan adalah parti UMNO itu sendiri, para pemimpin dan mereka yang mendokong sekular dalam UMNO.

Dalam Al Quran, Allah ada menjelaskan dan menggelar golongan yang ada mata tapi tidak mlihat, ada telinga tapi tidak mendengar sebagai binatang dan lebih teruk dari itu. Golongan yang dimaksudkan adalah golongan yang diberikan akal, pancaindera yang sihat, namun tidak menggunakan semua nikmat itu untuk taat kepada Allah, malah mencari dasar lain sebagai ganti kepada Islam.

Maka, manusia ini sememangnya diberikan kemudahan dan nikmat akal yang mampu untuk berfikir baik dan buruk. Nikmat besar ini dikurniakan agar manusia dapat menerima segala aturan dan undang-undang yang Allah tetapkan kepada mereka dan taat dengan segala perintahnya.

Tambahan lagi, Islam ini adalah agama yang jelas dan mudah. Dalam surah Al Baqarah ada menyebut "Tiada paksaan dalam beragama (memeluk Islam), sesungguhnya telah jelas perbezaan antara yang benar dan sesat".

Jelaslah bahawa Islam ini amat mudah dan menepati fitrah hinggakan Allah mensyariatkan jangan ada paksaan terhadap orang kafir untuk memeluk Islam kerana Islam agama yang jelas dan manusia juga telah dikurniakan akal yang boleh memikirkannya.

Inikan pula terhadap orang Islam yang sedia mendapat hidayah dan mengetahui akan kebenaran Islam. Mereka telah melafazkan taat dan syahadah setiap hari dalam solat mereka, diberikan panduan AL Quran bersama para ulama sebagai ganti para Rasul dalam menerangkan agama kepada mereka. Maka, apakah gelaran agaknya yang paling layak untuk mereka yang telah pun bergelar Islam tapi masih mengambil sekular sebagai ganti kepada Islam?

Tepatlah isi Al Quran yang menggelar golongan ini sebagai binatang malah lebih teruk dari itu! Maka, adakah UMNO turut termasuk dalam golongan itu? Saya kembalikan soalan ini kepada persepsi pembaca. Jika pembaca menganggap UMNO adalah parti yang benar-benar memperjuangkan Islam, maka UMNO bukanlah tergolong dalam golongan yang dimaksudkan.

Namun realitinya, masing-masing akan tersenyum untuk memikirkannya. Hati nurani anda ada jawapannya. Mulut boleh berbohong, tapi kata hati dan iman tetap mengatakan yang benar. Bak kata Nabil "Lu fikirlah sendiri..."

No comments: