Saturday, October 29, 2016

ANAK KECIL BERMAIN ADALAH BUANG MASA?

Bagi saya, kesilapan besar dalam memahami dunia anak kecil adalah apabila menganggap aktiviti bermain-main si anak adalah buang masa dan sia-sia.

Ini menunjukkan sikap segelintir ibu bapa zaman sekarang yang sama sekali tidak memahami minda si anak, apatah lagi cuba menyelami apa yang si anak fikirkan.

Mereka pandang kanak-kanak seperti mereka pandang diri mereka sendiri yang sudah dewasa.

Disebabkan itu, kerap berlaku keadaan di mana kanak-kanak sekecil 2 tahun sudah mula diatur sesi pembelajaran seperti kanak-kanak sekolah rendah.

Bagi ibu bapa seperti ini, belajar seperti ini akan membuatkan anak menjadi cepat pandai, lebih bermanfaat daripada buang masa bermain.

Malah jika mereka melakukan kesilapan, ibu bapa cenderung untuk memarahi mereka dengan keras, dan menghukum mereka seolah-olah mereka memahami kesalahan yang mereka buat.

FAKTA : Aktiviti bermain-main untuk kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah adalah PEMBELAJARAN TERBAIK buat mereka.

Bermain-main adalah cara untuk mereka meneroka dunia, mengenal alam, memahami apa yang berlaku di sekeliling mereka, belajar berkasih sayang, tahu cause and effect, membangunkan minda kreatif dan kritis, dan mula belajar membezakan antara perkara yang baik dan buruk.

APA TUGAS IBU BAPA?

Mendorong anak untuk bermain dengan betul, menegur mereka dengan lembut jika mereka tersilap, menjaga mereka daripada aktiviti bahaya yang tidak sesuai dengan tahap umur mereka.

Jika lebih kreatif, aturkan aktiviti bermain bermodul, yang dapat membangunkan minda anak secara langsung, dapat merangsang perkembangan daya pemikiran mereka.

Semua ini dilakukan TANPA perlu kepada aturan disiplin yang ketat. Tidak perlu memaksa, tetapi sentiasa gunakan ayat yang mendorong dan memujuk.

Teladan yang baik itu lebih menjadi ikutan daripada jeritan kemarahan.

Hati anak kecil umpama tisu, mudah terkoyak dengan kemarahan, tetapi mudah lembut dengan dorongan dan pujukan.

JANGAN JADIKAN ANAK SEBAGAI ALAT KEBANGGAAN KITA

Ramai ibu bapa suka bandingkan anak mereka dengan anak orang lain. Ini antara keegoan ibu bapa yang akhirnya menjadikan anak mereka sebagai mangsa.

Anak-anak kecil dipaksa untuk belajar agar menjadi lebih pandai dari anak orang lain, sedangkan setiap anak itu mempunyai tahap kebolehan dan perkembangan yang berbeza.

Disebabkan itu, saya tidak pernah risau jika ada perkara yang anak orang lain lebih awal menguasainya berbanding anak saya.

Saya memahami tahap perkembangan anak saya, dan boleh jadi ada perkara yang anak saya lebih menguasainya berbanding anak orang lain.

Apa yang penting adalah kita sebagai ibu bapa memahami apa yang anak kecil fikirkan. Tugas kita adalah mendorong dan menyungkil kebolehan mereka mengikut cara yang anak kecil mampu, mengikut tahap umur mereka.

Jangan dipaksa mereka untuk mencapai sesuatu yang mereka belum mampu untuk mencapainya. Beri mereka masa dan ruang untuk mempelajari tentang kehidupan dengan cara yang normal.


Buah durian jika dipetik sebelum tiba waktu ianya gugur sendiri, tidak akan menghasilkan buah yang baik, malah akan merosakkannya.

Wednesday, April 9, 2014

DERITA PERKAHWINAN JARAK JAUH : PERLUKAH DIKONGSI KEPADA UMUM?

Sekarang zaman moden, trend perkahwinan juga berubah selaras perubahan zaman. Ada istilah baru iaitu perkahwinan jarak jauh (PJJ) yang bermaksud orang yang berkahwin tetapi hidup berjauhan lantaran kekangan pekerjaan, tempat belajar dan kewangan.

Memang PJJ ini pedih, saya sendiri masih dalam proses PJJ dan kini dan masuk tahun ke tiga. Cuma perkara yang saya ingin kongsikan di sini adalah, perlukah kepedihan PJJ itu dikongsikan di laman maya seperti FB?

Pada pandangan saya, kepedihan berPJJ tidak perlu dikongsikan secara umum terutamanya si suami kerana :

1. Kita sendiri yang memilih untuk berPJJ. Apabila kita membuat keputusan untuk berkahwin dengan si dia, kita telah menyedari bahawa kita akan menghadapi PJJ. Oleh itu, mengapa perlu merintih akan perkara yang kita sendiri pilih?

2. Dibimbangi akan mewujudkan rasa kesal dalam hati akan apa yang telah kita putuskan itu, sedangkan perkahwinan itu rezeki yang dikurniakan Allah. Biarpun pedih, itu adalah ujian dan ia adalah antara nikmat besar yang Allah kurniakan kepada kita yang mungkin melambak lagi kawan kita tidak dapat nikmat ini.

3. Suami terutamanya, anda perlu kuat demi si isteri. Jika isteri merintih, agak normal kerana memang naluri wanita itu sensitif dengan perkara begini. Oleh itu, suami perlu jadi pengimbang dan penguat buat isteri, serta tidak boleh kelihatan lemah di mata isteri. Jika suami sendiri merintih, mungkin isteri pula akan meraung. Sampai bila nak selesai?

4. Lumrah perkahwinan itu sendiri adalah pengorbanan. Mungkin Allah aturkan hidup kita begini kerana Dia telah sediakan perjuangan yang jauh lebih perit untuk kita di masa hadapan dan apa yang kita lalui kini adalah latihan mental untuk bersedia ke arah itu. Para sahabat dahulu berperang, berbulan tinggalkan isteri. Bersyukurlah kerana kita diuji Allah di zaman yang maju, boleh call dan skype 24 jam.

5. Merintih di FB akan memberikan imej yang buruk kepada diri kita sendiri dan juga PJJ, sedangkan tidak semua orang berPJJ ini merana. Imej yang buruk akan membantutkan hasrat mereka yang ingin berkahwin awal dan akan berPJJ sedangkan PJJ ini adalah antara resolusi baik zaman sekarang untuk mengatasi masalah moral yang dahsyat.

6. Tidak merintih di FB bertepatan dengan ajaran Islam yang tidak menggalakkan kisah rumah tangga dikongsikan kepada umum. Jika rasa tertekan sekalipun, berkongsilah dengan mereka yang rapat sahaja terutamanya ibu bapa dan adik beradik. Jika anda mempunyai ulama atau orang alim yang rapat, berkongsi dengan mereka juga akan membuahkan ketenangan daripada kita berkongsi di FB.

7. Merintih ini akan melemahkan diri sendiri, seterusnya akan membantutkan kerja harian, melemahkan fikiran. Seharusnya kita melawan rasa lemah dengan sentiasa positif dengan apa yang kita lalui kini.

Saya tidak bermaksud berkongsi di FB ini tidak boleh secara total. Tetapi, jika ingin berkongsi, biarlah perkongsian yang membina, yang membangkitkan semanga, dan membina imej yang baik kepada perkahwinan muda.

PJJ itu memang bukan yang terbaik dalam perkahwinan. Jika mampu, elakkanlah PJJ. Tetapi jika ianya perlu dihadapi demi kebaikan bersama, maka anggaplah ia sebagai ujian yang memerlukan pengorbanan, demi orang yang tersayang.

Perkahwinan itu indah, tetapi bukan bermakna tiada ujian dan sentiasa perlu berdua. Ujian dalam perkahwinan pula jangan dianggap sebagai beban, tetapi ianya tanggungjawab dan pengorbanan. Pengorbanan itu jika kita pandang dengan hikmah dan lalui dengan sabar, ia akan berubah daripada pahit kepada manis.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
Balik Pulau,
9 April 2014, 8.30 pm

Friday, June 21, 2013

Kamu Bangga Balik Ke Malaysia Memegang Sijil Dari Azhar?

Saya tidak pasti kesahihan apa yang dikatakan komentar atau kritikan daripada Sheikh Taha Jabir Alalwani, seorang ulama kelahiran Azhar terhadap institusi Azhar yang kelihatan agak tajam dan keras. Kritikan yang saya maksudkan adalah seperti berikut :

"Al Azhar hari ini tidak mampu menghasilkan ulama' yang memberi impak besar terhadap negara. Sistem pembelajaran yang terkebelakang, kualiti ilmu yang tidak kontemporari, dan Al Azhar sendiri tidak memberi impak besar. International students yang datang mengkaji institusi alAzhar itu sendiri jauh lebih kehadapan dari para masyaikh di Azhar.
Saya merasa sedih bila mendapat tahu hampir 7000 pelajar Malaysia belajar di Azhar dalam bidang agama. Balik nanti kamu nak jadi apa? Saya lihat sendiri ulama' PAS yang berjumpa dengan saya untuk merujuk. Mereka jumud dan tak sesuai dengan masyarakat Malaysia.
Saya degree, master, dan PHD dari Universiti Al-Azhar. Kalau anda tanya apa yg saya dapat dari Azhar? "Nothing......" Kebanyakan ilmu yang saya dapat dan bermanfaat ialah di luar Azhar. Kamu bangga balik ke Malaysia memegang sijil dari Azhar?"

Saya berkeyakinan sekiranya komentar itu benar dari Al Fadhil Sheikh, pastinya ia lahir daripada penilaian beliau mengikut pertimbangan ilmu beliau demi melihat Azhar menjadi institusi ilmu yang ulung. Cuma, saya tidak dapat memastikan tasawwur sebenar soalan yang dikemukakan kepada sheikh dan mengapa dikaitkan ulama PAS dalam komentarnya. Namun, ulasan yang akan saya berikan akan difokuskan berkenaan institusi Azhar sahaja.

Saya sebagai pelajar yang masih bertatih dalam menuntut ilmu di Azhar, suka untuk saya menyampaikan sisi pandangan saya yang kerdil berkenaan institusi Azhar dan fungsinya sebagai antara institusi ilmu yang menjadi gudang ilmu dunia Islam.

Pertama berkenaan kemampuan Azhar untuk melahirkan ulama yang mampu menjadi tempat rujukan ummah. Saya pernah mengikuti Muktamar Khariji Azhar yang menghimpunkan hampir seluruh ulama kibar dunia kelahiran Azhar. Sebahagian mereka memegang jawatan yang tinggi dalam institusi Islam peringkat internasional.

Antaranya Sheikh Dr Yusuf Al Qardhawi, As Syahid Sheikh Dr Muhammad Sa'id Ramadhan Al Buti, Sheikh Dr Ahmad Al Raisuni, Sheikh Dr Ali Jumaah, Sheikh Dr Hassan Syafie dan ramai lagi yang saya sendiri tidak kenal. Mereka ini adalah ulama yang banyak memainkan peranan penting dalam dakwah dan memberikan khidmat kepada ummah melalui pelbagai pertubuhan Islam.

Ini tidak termasuk di kalangan ulama muda yang lahir dari Azhar dalam setahun dua ini. Antaranya Sheikh Dr Usamah As Sayyid Al Azhari, Sheikh Amru Al Wirdani, Sheikh Sayyid Syaltut dan beberapa lagi nama yang kini banyak memainkan peranan sebagai penggerak utama pengajian ilmu di Azhar.

Kecemerlangan Azhar juga diakui oleh ulama yang lahir dari institusi selain Azhar dan sering menziarahi Azhar atas jemputan para masyaikh Azhar untuk menyampaikan daurah kepada abnaul Azhar. Antaranya adalah Sheikh Said Fudah, Sheikh Abul Huda Al Yaakubi, Shekh Nururddin Itr, Sheikh Muhammad Ibrahim Al Kattani, Habib Umar Al Hafidz, Habib Ali Al Jufri dan ramai lagi.

Oleh itu bagi saya, semua ini sudah cukup dijadikan bukti akan kemampuan Azhar dalam melahirkan ulama bertaraf dunia dan peranan ulama Azhar dalam menyumbang kepada dunia ilmu Islam serta dakwah Islamiyah.

Keduanya berkenaan manhaj pengajian ilmu di Azhar. Banyak kedengaran kritikan berkenaan teknikal pengajian di Universiti Al Azhar dan saya sendiri akui terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki. Namun, menyimpulkan institusi Azhar dengan berdasarkan teknikal pengajian di Universiti Al Azhar bagi saya adalah kesimpulan yang tidak menyeluruh.

Ini adalah kerana, institusi Azhar itu sendiri bukan sekadar pengajian di universiti semata-mata. Ianya juga termasuk pengajian tidak formal yang dijalankan di masjid-masjid terutamanya Masjid Azhar yang diseliakan oleh ulama Azhar di bawah pantauan bekas mufti iaitu Al Allamah Sheikh Dr Ali Jumaah.

Menurut kefahaman saya berdasarkan makalah bertajuk Al Ihya Al Kabir tulisan Al Allamah Sheikh Dr Usamah Al Azhari, pengajian ilmu di Azhar tidak cukup sekadar memperoleh segulung sijil setelah lulus peperiksaan, tetapi pengajian ilmu di Azhar merangkumi 8 manhaj yang perlu dicapai oleh setiap anbaul Azhar untuk melayakkan mereka bergelar Azhari selepas tamat pengajian mereka.

Pengajian ilmu di Azhar menekankan penguasaan manhaj Azhar yang akan melahirkan pelajar yang mempunyai pemikiran pertengahan (wasatiah), mampu berfikir seperti para ulama dalam memandang tasawwur masalah, menyediakan penyelesaian secara syumul merangkumi pandangan dari semua sudut, dan tidak bersikap keras dalam menghadapi perbezaan dalam agama.

Dari sudut ini, saya bersetuju dengan komentar Al Fadhil Sheikh bahawa pelajar Azhar terutamanya dari Malaysia tidak menguasai ilmu sepenuhnya ketika belajar di Azhar. Majoriti di kalangan kita bergantung sepenuhnya kepada peperiksaan sebagai penilaian tunggal akan penguasaan kita terhadap ilmu. 

Kemudian, apabila pulang ke tanah air, kita menjadikan sijil yang kita peroleh daripada peperiksaan itu sebagai tahap keilmuan kita dan terjun ke dalam masyarakat dengan berbekalkan sijil tersebut yang hakikatnya sama sekali tidak menggambarkan tahap ilmu kita yang sebenarnya sangat rendah. Ini adalah kerana peperiksaan yang berpandukan satu kitab untuk setiap subjek, malah difokuskan pula kepada bahagian muqarar sahaja sangat tidak mencukupi sebagai bekalan ilmu yang akan kita gunakan untuk memandu masyarakat.

Saya menyeru kepada diri saya dan semua pelajar Malaysia di Azhar agar berusaha memenuhi tanggungjawab kita sebagai penuntut ilmu di Azhar. Seperti kalam Dr Usamah, tidak layak kita menggelarkan diri kita sebagai Azhari jika pada diri kita hanya ada segulung sijil, tetapi manhaj Azhar yang perlu kita kuasai sama sekali tidak wujud dalam diri kita.

Sijil itu penting sebagai wasilah untuk kita diterima dalam masyarakat, tetapi kita juga kena akui bahawa ianya mampu diperoleh dengan menguasai teknik menjawab peperiksaan. Namun, ilmu yang benar yang perlu kita sampaikan kepada masyarakat yang merupakan amanah dari Allah sama sekali tidak mampu kita peroleh melainkan mewajibkan diri kita bersuhbah dengan para ulama dan mengambil buah-buah ilmu secara terus dari mereka.

Ambillah kritikan Sheikh Dr Taha Jabir sebagai satu cabaran yang perlu disahut dengan melipatgandakan usaha dalam menuntut ilmu di Azhar. Perlu kita semua sedar, nikmat bermusafir mencari ilmu di Mesir adalah kurniaan Allah yang disertai dengan amanah ummah kepada kita. Menjadi fardhu waqt kepada kita untuk menguasai ilmu sebanyak mana yang mampu untuk melunaskan amanah ini.

Jika masyarakat kita kekal jahil selepas kita pulang ke kampung halaman dan kita pula tidak mampu untuk menyampaikan ilmu yang benar kepada mereka lantaran kosong dada kita dengan ilmu, maka tidak mustahil masyarakat kita akan menyalahkan kita di Padang Masyar kelak atas pengkhianatan yang kita lakukan kepada mereka lantaran sikap culas dan malas kita dalam menuntut ilmu di Bumi Anbia ini.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
1.00 am, 21 Jun 2013.
Hussien, Kaherah.

Sunday, June 9, 2013

Antara Konda Kondi dan iPad

Saya rasa, zaman persekolahan saya merupakan antara zaman akhir kehidupan kanak-kanak yang berpersekitaran tradisional. Ayat permainan kami pasca tadika paling canggih pun Lego System. Permainan dalam rumah pula paling seronok adalah bina rumah kecil dengan menggunakan kusyen dan main bola gunakan bantal.

Permainan di luar rumah popular dengan Kayu Tiga, Konda Kondi, Rounders, guli, gasing, bola pot, layang-layang. Kalau permainan yang sedikit 'ekstrem', kami pergi mandi parit atau sungai, berbasikal jelajah kampung, berkhemah di hujung kampung. Kalau yang sukan yang moden, main badminton dengan jadikan basikal di tengah-tengah sebagai net.

Permainan yang memupuk kerjasama rakan sebaya pula pastinya bola sepak. Siap ada jelajah kampung dan berlawan dengan kampung seberang. Padang 'rasmi' budak kampung kami pula adalah halaman sebuah rumah tinggal yang kami renovate jadi padang bola, siap ada tiang gol buatan sendiri dari kayu buluh.

Ada satu lagi yang best, kami sesama budak-budak kampung pernah anjurkan Sukan Desa, kumpul duit sama-sama untuk membeli jajan sebagai hadiah. Ada pertandingan merentas desa, masuk air dalam botol, bawa bola pingpong dalam sudu, rebut kerusi, lari dalam guni.

Permainan yang berteras pendidikan pastinya main 'Cikgu-cikgu'. Belajar jadi cikgu, ajar kawan-kawan lain BM, BI, Matematik dan lukisan. Lengkap ada exam hujung minggu. Minggu seterusnya Hari Penyampaian Hadiah.

Acara tahunan yang memupuk semangat cintakan negara pula pastinya ketika musim bulan kemerdekaan. Kami bangga sangat kibar bendera Malaysia di basikal. Lebih besar bendera, lebih bangga rasanya. Pergi sekolah, semua dengan basikal yang dipasang bendera. Bagi mereka yang kreatif tu, siap pasang lampu neon di basikal. Malam Merdeka dan siang Hari Merdeka ada konvoi berbasikal keliling kampung. Bukan anjuran JKKK pun, kami yang anjur sendiri.

Kami membesar dengan persekitaran ini. Ya, ianya amat tradisional dan kampungan, tetapi dengan semua inilah kami membesar dengan normal. Kami diajar untuk berdikari dalam bermain, menggunakan apa yang ada di sekeliling kami untuk dijadikan permainan. Minda kami dididik dengan inovasi, kreativiti dan fleksibiliti. Unsur pendidikan, pembangunan minda, kepimpinan, patriotik dan keagamaan lengkap dalam pakej permainan harian kami yang memberikan persedian dan asas kukuh sebelum kami melangkah ke alam sekolah menengah yang lebih mencabar.

Itu semua cerita dahulu, cerita era 1990 hingga 2000. Ketika saya masuk sekolah menengah, peralihan zaman berlaku. Teknologi bercambah sehingga ke kampung saya, makin pesat sehingga kini. Tidak boleh dinafikan, percambahan teknologi adalah berkadar songsang dengan perkembangan pendidikan tradisional.

Kini, kanak-kanak dibesarkan dengan handphone, iPhone, iPad, internet, Facebook dan pelbagai lagi teknologi terkini. Permainan mereka kini semuanya di hadapan mata dan di hujung jari. Tidak perlu lagi berpanas, berhujan, berpenat untuk keliling kampung dan memerah otak mencari permainan baru untuk dimain.

Hanya pergi ke iTunes atau Play Store, jutaan permainan moden terbaru samada percuma atau berbayar boleh dimuatnaik dalam masa beberapa minit. Mereka sangat arif bagaimana untuk memenangi sesuatu games, memikirkan strateginya, dan mencipta kod untuk menang dengan jalan pintas. Fikiran mereka maju, tetapi semuanya hanya di screen iPad, bukan di alam realiti.

Saya mula berfikir, jika kanak-kanak sekarang membesar, apa agaknya keadaan mereka 10 atau 20 tahun akan datang? Berdaya saingkah mereka, mampukah mereka berfikiran kreatif dan inovatif, mampukah mereka memupuk gaya dan ciri kepimpinan dalam diri mereka? Jika mereka tercampak di tengah-tengah dunia moden tanpa sebarang kawalan dan mereka perlu berdikari, mampukah mereka mengekalkan jati diri mereka sebagai seorang muslim dan adat ketimuran mereka sebagai orang Melayu?

Mampukah mereka hidup bermasyarakat dengan baik, berinteraksi dengan persekitaran mereka? Atau mereka akan menjadi kera sumbang yang tidak reti untuk menyuaikan diri mereka di tengah-tengah kejiranan tempat tinggal mereka? Apabila mereka besar dan berkerja dengan kerja yang hebat, adakah mereka gunakan kelebihan itu untuk menyumbang dan berkhidmat kepada masyarakat atau disimpan untuk kemewahan dan kenikmatan diri mereka sahaja?

Kanak-kanak kini belajar melalui fantasi terlebih dahulu, sebelum merasai realiti. Segala kehebatan yang mereka bina dalam diri mereka tidak lebih daripada kehebatan di ruang fantasi minda mereka dan di alam maya sahaja. Adakah generasi seperti ini akan hidup dengan normal apabila mereka terjun ke alam realiti? Mereka akan menjadi manusia tulen atau menjadi manusia yang berfikiran robot?

Saya agak buntu apabila memikirkan perkara ini dan apa yang perlu saya sediakan kepada anak-anak saya yang bakal lahir kelak agar mereka membesar secara normal, terbina kekuatan minda dan fizikal, rohani dan jasmani secara sekata. Persoalan ini perlu kita semua jawab dan fikirkan bersama, samada kita ingin kekal dalam arus moden yang tidak terkawal atau menjenguk sebentar ke zaman lampau, mengambil apa yang mujarab untuk dijadikan pedoman bagi kita meneruskan langkah..

Antara konda-kondi dan iPad apakah pilihan kita?


Mohd Azrul Azuan bin Idris
9 Jun 2013, 9.30 pm.
Hussien, Kaherah, Mesir.

Monday, January 28, 2013

Perlukah Semua Perkara Dipolitikkan?


Pilihanraya Umum ke 13 semakin hampir. Hampir semua topik perbualan harian masyarakat di Malaysia adalah politik dan perubahan. Zaman kini bukan seperti zaman dahulu. Kecanggihan teknologi dan keberkesanan sebaran maklumat menjadikan rakyat kini semakin celik maklumat dan pintar berpolitik.

Kehangatan politik ini adakala berjangkit kepada semua urusan kehidupan kita. Dari satu sudut, ianya baik untuk menggalakkan kita berfikir, tetapi dari satu sudut ia sebenarnya membahayakan kesihatan akal kita dalam berfikir. Persoalan yang timbul dalam benak saya, perlukah semua perkara dipolitikkan?

Dalam keadaan kehangatan politik sekarang, seharusnya kita tidak terlalu larut dengan berpolitik sehingga semua perkara mesti dinilai dengan kacamata politik. Bagi saya, apabila membaca atau mengetahui mana-mana isu, fikir dahulu dengan teliti ianya isu apa, kepentingannya dan perlu dilihat dari kacamata apa.

Selepas melakukan semua ini, kemudiannya kita dapat memastikan ianya perlu dilihat dari sudut politik, maka teruskanlah mengulas dan berfikir dengan lebih lanjut tentangnya. Semoga dengan sikap cakna kita ini mampu menjadikan kita seorang rakyat yang celik dan sayang akan negaranya.

Sebaliknya pula, jika kita mendapati ianya bukan berkaitan dengan isu politik, dan seharusnya dibebaskan dari penilaian politik, maka mujahadahlah untuk berlaku adil dalam mengulasnya. Ini adalah kerana isu-isu seperti ini adakalanya berkaitan dengan kita dan keseluruhan masyarakat. Maka, ia perlu dinilai dengan adil tanpa berat sebelah, agar tanggungjawab terhadapnya diambil oleh semua pihak tanpa pengecualian dan tuduh menuduh.

Namun begitu, realitinya, penilaian adil ini susah berlaku lebih-lebih lagi jika isu itu boleh meraih keuntungan politik buat kita. Keghairahan politik zaman kini kadang kala membuatkan kita akan menilai terus mana-mana isu dengan menggunakan kacamata politik terlebih dahulu. Kemudiannya apa jua hujah dan ulasan akan diarahkan kepada membenarkan pandangan kita walaupun sebenarnya pandangan kita itu salah.

Contoh yang mudah, perbandingan antara kes pembunuhan Altantuya dan kes kematian adik William di Sungai Klang. Kes pembunuhan Altantuya sememangnya boleh kita nilai dari sudut kacamata politik kerana terdapat banyak kekeliruan dan penyembunyian fakta dalam perbicaraan mengenainya. Tambahan pula, terdapat bukti mengaitkan kes itu dengan kepentingan negara iaitu pembelian kapal selam yang kini sedang melalui perbicaraan di mahkamah Perancis.

Tetapi dalam kes adik William, saya memandang kes ini lebih kepada soal tanggungjawab ibu bapa menjaga anak-anaknya ketika berada di luar rumah. Walaupun ada kaitan 'bau-bau bacang' dengan tanggungjawab polis, tetapi faktor utama kehilangannya adalah kecuaian ibu bapanya yang membiarkan anak-anak kecil mereka sendirian di dalam kereta.

Jika kita ghairah mengaitkan kes ini dengan menghalakan kecaman kepada pemimpin negara, saya berfikir andai pula kes yang sama berlaku ketika Pakatan Rakyat memimpin Malaysia, adakah kita akan memberi pandangan yang sama seperti sekarang? Mungkin kita akan akui kes ini adalah berpunca daripada kecuaian ibu bapa ketika menjaga anaknya.

Zaman kini adalah zaman perubahan. Bukan perubahan kerajaan sahaja, minda kita pun perlu diubah. Memandang semua isu dari kacamata politik adalah satu didikan kepada minda kita untuk menjadi taksub, tidak rasional dan mendahulukan emosi dari berfikir. Semoga harapan kita untuk melihat perubahan kepada negara kita ini seiring dengan usaha kita mengubah paradigma pemikiran kita.

Saya penyokong PAS, mahukan perubahan dalam kepimpinan negara dan minda kita semua =)


Mohd Azrul Azuan bin Idris.
8.43 am, 28 Januari 2013.

Thursday, January 24, 2013

Manifestasi Cinta Kepada Rasulullah

Salam Maulidur Rasul kepada semua umat Islam. Tenang dan gembira rasa hati apabila alunan selawat dialunkan di mana-mana, baik dalam televisyen, radio dan juga majlis-majlis sambutan. InsyaAllah, kecintaan kepada baginda yang diserapkan ke dalam masyarakat, semoga menjadi asbab turunnya hidayah mencurah-curah kepada kita semua. 

Di kesempatan ini, ingin saya mengulas berkenaan beberapa kekeliruan yang timbul berkenaan sambutan Hari Keputraan Rasulullah SAW, di mana terdapat segelintir di kalangan umat Islam yang melarang dan membidaahkan sambutan ini berdasarkan beberapa nas yang mungkin tidak dipandang secara menyeluruh.

Nabi Melarang Mengagungkannya?

Dalil popular yang dinaqalkan adalah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Ahmad yang menyebut :

لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
Maksudnya: “Janganlah kamu mengagung-agungkan aku seperti mana kaum Nasrani mengagung-agungkan Ibn Maryam (Nabi Isa a.s), sesungguhnya aku adalah hambaNya maka katalah: Hamba Allah dan RasulNya”. [al-Bukhari & Ahmad].

Secara kasar, hadith ini kelihatan larangan Rasulullah SAW kepada umatnya untuk mengagungkan baginda. Namun begitu, jika diteliti dengan baik maka kita akn peroleh kefahaman yang sebenar akan maksud hadith ini.

Hadith ini mengaitkan larangan mengagungkan baginda dengan perbandingan kaum Nasara mengagungkan Nabi Isa. Oleh itu, cuba kita telitikan pula bagaimana kaum Nasara mengagungkan Nabi Isa yang dilarang itu? Disebut dengan jelas dalam banyak ayat Al Quran berkenaan celaan kepada kaum Nasara yang mengangkat Nabi Isa sebagai anak Tuhan dan mentaqdiskan baginda setaraf dengan Allah.

Antara ayat Al Quran yang menjelaskan penafian Nabi Isa di hari kiamat berkenaan dakwaan kaum Nasara bahawa baginda mengaku sebagai anak Allah adalah ayat 116 dan 117 dari Surah Al Maaidah bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: "Jadikanlah aku dan ibuku dua orang tuhan selain Allah?". Isa menjawab: "Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). Jika aku pernah mengatakan maka tentulah Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib-ghaib". Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya yaitu: "Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu", dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu. (Surah Al Maa'idah ayat 116-117)

Ini yang dimaksudkan sebenarnya dalam hadith di atas iaitu Rasulullah SAW melarang umatNya mengagungkan baginda seperti mana kaum Nasara mengagungkan Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Ini diperkuatkan lagi dengan ayat di hujung hadith tersebut yang menyatakan "seseungguhnya aku adalah hambaNya, maka katalah : Hamba Allah dan rasulNya." Larangan ini sama sekali tidak bermaksud larangan berlebihan dalam mencintai Rasulullah SAW.

Apatah lagi jika ingin dinisbahkan dengan sambutan Maulidur Rasul. Sambutan ini adalah manifestasi kecintaan kepada baginda yang sama sekali tidak sampai kepada menganggap baginda sebagai Tuhan, seperti yang dilakukan oleh kaum Nasara. Aktiviti berqasidah, berselawat, menganjurkan jamuan, berarak dan lain-lain aktiviti adalah perkara yang harus dilakukan, malah mendapat pahala sekiranya niat kita ikhlas dalam melakukan semua ini.

Mengkhususkan Ibadah

Banyak persoalan timbul berkenaan hukum mengkhususkan ibadah sunat di hari-hari kebesaran Islam seperti Hari Maulidur Rasul. Di sini saya suka untuk menurunkan kalam Al Allamah Sheikh Dr Sayyid Muhammad Ramadhan Al Buti ketika berforum bersama Al Allamah Al Mahbub Habib Ali Al Jufri dalam satu slot forum di salah satu stesen TV UAE.

Terdapat satu hadith berkenaan fadhilat puasa sunat Isnin iaitu :

Abu Qatada al-Ansari meriwayatkan didalam Sahih Muslim, kitab as-siyam (puasa), bahawa Rasulullah (s.a.w) kenapa beliau berpuasa pada hari Isnin, dan baginda bersabda,"Itulah hari aku dilahirkan dan itulah juga hari aku diangkat menjadi Rasul."

Sheikh memandang hadith ini dari sudut kacamata usul sunnah iaitu Rasulullah menzahirkan rasa gembira di hari tersebut dengan melakukan ibadah iaitu puasa.

Maka umat Islam diharuskan untuk mengkhususkan ibadah sunat ketika ingin meraikan sesuatu yang mengembirakan dengan syarat perkara yang mengembirakan itu bukan perkara yang haram di sisi agama. Kita juga tidak boleh menghukumkan ibadah sunat yang ingin dilakukan itu sebagai wajib dan jauhi sama sekali menisbahkan ibadah sunat yang dikhususkan itu sebagai sesuatu yang pernah dilakukan Rasulullah SAW.

Sebagai contoh, kita gembira dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang, maka kita raikan dengan solat sunat tasbih. Kita gembira menyambut Maal Hijrah, maka kita berpuasa pada hari tersebut. Kita gembira dengan kedatangan Maulidur Rasul, maka kita alunkan selawat khusus yang istimewa untuk meraikannya. Maka, semua ini diharuskan dalam Islam.

Malahan, jika dinilai dari satu sudut, ianya membawa satu sikap yang mulia iaitu apabila rasa gembira dan dikurniakan nikmat oleh Allah, kita menyambutnya dengan melakukan ibadah, mengingati Allah dan mengabdikan diri padaNya.

Berlapang Dada Sikap Terbaik

Namun begitu, ini termasuk dalam perkara khilafiat di mana kita bebas untuk memilih samada untuk bersetuju atau tidak. Jika kita ingin menyambut Maulidur Rasul dengan selawat khusus atau berpuasa atau apa sahaja ibadah sunat lain, dipersilakan. Jika kita ingin menyambut dengan cara yang lain pun dipersilakan. Jika tidak mahu menyambut pun, tiada masalah sama sekali.

Apa jua bentuk sambutan kita, perkara yang terlebih utama tetaplah menyerapkan ajaran Islam dan akhlak Rasulullah dalam kehidupan seharian kita. Apa yang menjadi masalah adalah apabila kita tidak berlapang dada dan menghukumkan sesat kepada mereka yang tidak sependapat dengan kita, apatah lagi perkara ini hanyalah salah satu dari permasalahan khilafiat.

Salam Maulidur Rasul untuk semua =)


Mohd Azrul Azuan bin Idris
12.22 pm, 12 Rabiul Awal 1434H
24 Januari 2013

Thursday, January 10, 2013

Isu Kalimah Allah Dan Tanggungjawab Kita

Secara ringkasnya, isu kalimah Allah perlu dinilai dari sudut ilmu dan juga realiti semasa. Dari sudut ilmu, tidak dinafikan Islam tidak melarang golongan Nasara menggunakan kalimah Allah, tetapi ianya diikuti dengan ancaman azab yang pedih kepada mereka kerana menggunakan nama Allah dengan maksud yang mensyirikkanNya.

Dari sudut realiti semasa juga, tidak dapat dinafikan memang wujud usaha pihak tertentu untuk menggunakan kalimah Allah bagi tujuan menyalahgunakannya terhadap aqidah umat Islam. Dalam keadaan ini, sasaran mereka bukan orang bijak pandai di dalam FB dan alam maya, tetapi di kalangan anak muda dan remaja Islam yang tipis ilmu agamanya, tidak terkawal hidupnya dan terumbang ambing hala tujunya tanpa matlamat.

Maka, bagi saya pandangan membenarkan penggunaan kalimah Allah dengan syarat tidak menyalahgunakannya adalah terbaik. Tetapi ianya tidak berhenti setakat itu, ianya diikuti tanggungjawab yang besar yang waib dipikul oleh umat Islam terutamanya para daie :

1. Umat Islam perlu memahami bahawa 'tiada halangan' adalah berada di dalam konteks 'lakum dinukum waliyadiin' iaitu bagi kamu, penggunaan nama Allah oleh kamu itu adalah salah dan kamu akan diazab atas kesyirikan kamu, manakala bagi kami Alah itu adalah Tuhan yang Maha Esa, tiada anak dan tidak diperanakan.

2. 'Tiada halangan' sama sekali tidak bermaksud Allah itu adalah Tuhan bagi semua manusia termasuk muslim dan Kristian dengan iktikad kedua-dua agama ini adalah sama dan apa jua pentafsiran terhadapNya adalah benar, sama, dan tiada perbezaan.

3. Para daie wajib menerangkan hakikat dalam perkara 1 dan 2 tadi kepada masyarakat Islam khususnya, agar penggunaan kalimah Allah oleh pihak Kristian itu menjadikan umat Islam semakin jelas terhadap kesesatan agama Kristian.

4. Para daie juga, jika mampu, perlu menerangkan hakikat keeasaan Allah kepada masyarakat Kristian agar mereka akan menyedari kesalahan fahaman mereka terhadap Allah.

5. Para penguasa agama dan pemimpin perlu mempergiatkan penguatkuasaan undang-undang berkenaan kegiatan penyalahgunaan kalimah Allah terhadap umat Islam dan juga semua usaha yang boleh menggugat aqidah umat Islam.

6. Para pemimpin terutama yang memegang tampuk pemerintahan, hentikan segala hidangan kelalaian dan maksiat kepada rakyat dan kembalilah kepada jalan hidup Islam. Jangan mempergunakan isu ini untuk menunjukkan yang kamu kononnya memperjuangkan aqidah umat, tetapi kamu juga yang menjadi pengkhianat, menyajikan rakyat dengan maksiat yang menjadi asbab utama lemahnya iman masyarakat Islam di Malaysia.

Semua tanggungjawab di atas terpikul di bahu semua umat Islam terutamanya para daie. Jangan hanya pandai bercakap berkenaan isu ini, tetapi kita sendiri tidak menyedari hakikat tanggungjawab yang kita wajib jalankan. Jika semua di atas ini tidak dijalankan, tanpa isu ini pun, umat Islam akan runtuh aqidahnya, tergadai imannya.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
11.00 pm, 10 Januari 2013

Wednesday, January 2, 2013

Sambutan Tahun Baru : Apabila Orang Berbondong Menerima Islam


Hampir bergenang air mata ini melihat video-video yang mempamerkan suasana sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Shah Alam yang dipenuhi dengan majlis ilmu, bual bicara, majlis bersama ulama, solat berjemaah, nasyid dan zikir. Lebih mengembirakan hati apabila majlis ini dihadiri oleh seluruh lapisan masyarakat.

Yang di atas pentasnya dibarisi oleh para ulama, ustaz-ustaz, pemimpin negeri, ahli sukan, penggiat seni, penyanyi, pelakon dan pelbagai lagi profesion, manakala yang menonton di bawah terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat samada tua, muda, Mat Rempit, yang singgle, yang berkeluarga, yang sempurna, yang kurang upaya, apatah lagi kanak-kanak yang membanjiri lokasi majlis.

Sepanjang 55 tahun merdeka, tidak pernah kita dididik dengan pengamalan agama yang sebegini. Kita ditanamkan sejak kecil bahawa, jika ada sambutan hari utama dalam negara, wajib ada konsert dan artis, wajib ada pergaulan bebas, wajib ada itu ini. Akhirnya di zaman kini, berkat usaha dakwah yang dijalankan semua pihak, paradigma rakyat Malaysia berjaya diubah.


Rakyat Memilih Islam

Dalam masa yang sama, pihak sebelah lain terus menerus menyajikan perkara yang sama yang mereka sajikan sejak 50 tahun lalu. Dihimpunkan rakyat di dalam program maksiat, yang tiada sama sekali seruan kepada iman. Rakyat terus dihidangkan dengan kelalaian, hedonisme, hiburan melampau, tari menari, membuka aurat dan pelbagai lagi kerosakan.

Jika dahulu, mungkin kita boleh bersangka baik bahawa mereka tidak ditunjukkan alternatif dan contoh untuk mengubah sambutan tahun baru yang bertepatan syariat. Namun, mengapa kini setelah alternatif ditunjukkan dan rakyat sudah menunjukkan minat ke arah Islam, tetapi minat masyarakat ini tidak disambut, dlemparkan di dalam tong sampah. Kerosakan moral dan kelalaian terus menerus disajikan. Kemudian, orang yang sama terpekik terlolong bersama dengan krew-krew sekapalnya bahawa aqidah umat terancam, Islam dihina dan moral rakyat berada ditahap rendah. Dasar lidah biawak!

Saya meneliti rakaman konsert dan sambutan Tahun Baru ala-ala UMNO-BN yang dipamerkan di Youtube. Alhamdulillah, 17 orang sahaja menunjukkan 'like' manakala 1224 yang lain menunjuk 'unlike'. Saya yakin video lain yang memaparkan sambutan Tahun Baru begini turut menerima nasib yang sama, kecuali si pemuatnaiknya tidak mengaktifkan butang 'like' kerana tidak mahu ditimpa nasib yang sama.

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada Allah Tuhan Sekelian alam, rakyat negaraku Malaysia mula menerima Islam secara berbondong-bondong. Jika dihidang dengan dua sajian iaitu sajian iman dan maksiat, rakyat sudah memilih iman dan berbangga dengannya. Adakah lagi yang lebih mengembirakan kita selain dari Islam sudah diterima oleh masyarakat?

UMNO-BN Raikan Naluri Orang Muda?

Sejak dahulu, orang muda negara kita dianggap sebagai peminat tegar hiburan. Orang muda digambarkan sebagai hamba kepada hiburan dan tidak boleh dipisahkan dengan hiburan. Ke mana sahaja hiburan disajikan, maka akan berkerumunlah orang muda mengejar hiburan. Mungkin dengan alasan inilah, pihak UMNO-BN menggunakan hiburan sebagai senjata ampuh untuk menarik orang muda. Alasan mereka, naluri anak muda perlu diraikan dan jangan dihalang.

Benar teori itu, naluri anak muda perlu diraikan, namun adakah memuja maksiat itu merupakan naluri fitrah orang muda? Ataupun naluri orang muda yang terkeliru ini perlu disuluh dengan cahaya dakwah agar naluri mereka dibersihkan dan berpaling ke arah iman? Di sini saya melihat sangka buruk yang melampau UMNO-BN kepada anak muda sehingga mereka tiada usaha membawa anak muda mendekati Allah secara praktikal. Bagi mereka, Forum Perdana Ehwal Islam dan Al Kuliyyah TV3 sudah cukup sebagai usaha dakwah. Maka untuk hiburan, biarkan anak muda memilih kesukaan mereka.

Belia dan remaja adalah zaman penuh genting. Di zaman inilah mereka mencari identiti mereka. Di awal umur remaja, mereka sangat terbuka samada memilih hidayah atau maksiat. Maka, apa yang disajikan kepada mereka di peringkat umur ini akan membentuk jiwa mereka di zaman akan datang. Oleh itu, mengapa menjadikan kemahuan mereka sebagai alasan sedangkan mereka memang dididik untuk meminati maksiat sejak dari mereka mengenal dunia?

Dakwah Adalah Dambaan Orang Muda

Sudah terbukti kini apabila mereka diberikan alternatif hiburan yang mendidik jiwa dan meraikan iman, mereka mampu berpaling dari maksiat dan memilih untuk mengikuti jalan yang diredhai Allah. Naluri remaja tidak boleh diikuti sepenuhnya, ia perlu dibimbing. Mereka perlu ditarik ke arah iman dan Islam dengan dakwah yang hikmah, penuh teladan. Dengan didikan dan dakwahlah, sekali hati mereka terusik dan merasa tenang dengan Islam, selamanya mereka akan mengikut Islam.

Remaja dan belia perlukan bimbingan dan dorongan. Begitu juga para penggiat seni, artis, pelakon, ahli sukan dan sebagainya. Dakwah dan ilmu yang mereka dambakan dan perlu kita berikan. Bukannya terus menerus mengikut naluri palsu mereka yang UMNO-BN bentukkan. Alhamdulillah, berkat dakwah yang dijalankan, mereka yang disebutkan di atas mampu bersama para ulama di atas satu pentas menyampai mesej dakwah dan iman.

Inilah yang tidak dilakukan oleh UMNO-BN, malah tidak mahu dilakukan mereka walaupun setelah ditunjukkan caranya. Saya sebolehnya ingin bersangka baik dengan UMNO seperti mana yang disarankan oleh sebuah NGO untuk memberikan UMNO peluang dan masa untuk berubah. Namun, sangkaan baik apa lagi yang mampu kita lakukan. Dalam kita bersangka baik dan menunjukkan teladan, UMNO tetap tidak berubah dan terus dengan tradisi menghayutkan orang muda dalam arus deras hiburan dan kelalaian.

Hasil Tahalluf Siyasi

Saya meneliti bahawa gelombang dakwah yang diterima masyarakat kini sangat berkait rapat dengan dasar tahalluf siyasi yang dilakukan PAS. Walaupun PAS sudah memerintah lama di Kelantan, faktor geografi dan juga kekangan media yang tidak membuat liputan berkenaan dasar Islam yang dilaksanakan di Kelantan menyebabkan berita kejayaan dakwah di sana tidak sampai menyeluruh ke seluruh negara. Kelantan mempelopori kejayaan dakwah dalam banyak aspek termasuklah hiburan. Tentu semua masih ingat konsert pertama yang menampilkan Mawi berjalan dengan jayanya dan menjadi role model hiburan Islam sehingga kini.

Allah mentakdirkan PAS membentuk kerajaan bersama gagasan Pakatan Rakyat di Selangor sejak 2008 hingga kini. Biarpun PAS merupakan suara minoriti yang adakala tewas di dalam isu-isu yang meperlihatkan pertembungan dengan rakan dalam Pakatan, tetapi PAS sama sekali tidak mensia-siakan peluang sebagai sebahagian daripada anggota pemerintah untuk menjalankan dakwah. Bagi PAS, kalau tidak dapat semua, jangan ditinggalkan semua.

Dakwah sangat penting untuk dijalankan kerana jika seruan dakwah berjaya dan rakyat menerima Islam, maka pemerintah juga wajib mengikut kehendak rakyat selari dengan prinsip demokrasi. PAS memulakan dakwah dengan membuka seluas-luasnya pintu semua masjid di Selangor kepada para pendakwah dari seluruh negara bagi memberikan pengisian ilmu kepada rakyat Selangor.

Saya masih ingat bagaimana terkejutnya saya dengan bilangan jemaah yang hadir solat Subuh di sebuah masjid di Bangi, angka yang membolehkan untuk diadakan solat Jumaat malah lebih ramai daripada itu. Saya lantas melihat papan kenyataan masjid, di mana tercatat jadual pengajian ilmu setiap hari dan hampir setiap waktu di masjid tersebut. Saya tersenyum ketika melihat ini kerana saya teringat kata-kata Tuan Guru Hj Zulkifli Ismail yang mengatakan bahawa jika ingin melihat kebangkitan Islam di satu-satu tempat, maka lihatlah bagaimana masjidnya digunakan untuk menyampaikan ilmu.

Disebutkan oleh Al Imam Al Ghazali bahawa cara untuk istiqamah dengan kebaikan di zaman penuh maksiat ini ada tiga perkara. Pertama, zahirkan penampilan yang berimej Islam. Kedua, lazimi majlis ilmu. Ketiga, rapati kedua lutut dengan para ulama. Dari tiga cara ini, dua daripadanya berkaitan dengan ilmu, memperlihatkan bagaimana masjlis ilmu menjadi antara asbab utama datangnya hidayah kepada kita.

Transformasi Hiburan

Meminjam istilah yang sering disebutkan YAB Dato Seri Najib, setelah PAS menjalankan usaha di lapangan majlis ilmu, PAS mengorak langkah memperkenalkan transformasi dan alternatif terhadap hiburan dan majlis keraian. Setelah mendapat pengajaran dan pengalaman yang dibuat di Kelantan, PAS memulakan langkah dengan menganjurkan Sambutan Ambang Tahun Baru 2012 dengan menampilkan daie sejuta umat, Ustaz Azhar Idrus dan ikon pelawak tempatan, Zizan Raja Lawak untuk membawakan satu kelainan sambutan Tahun Baru mengikut acuan Islam.

Majlis itu berjalan dengan gemilang dan dijayakan oleh kehadiran ramai ikon dari pelbagai profesion yang ikhlas ingin menjayakan acara julung-julung kalinya diadakan di negara kita. Sambutan Tahun baru di Malaysia mendapat suntikan dan kejutan baru, dengan penampilan yang lebih mendidik, santai dan penuh dengan puji-pujian kepada Allah.

Acara seperti itu tidak terhenti di situ, lantas dianjurkan program seumpamanya untuk majlis keraian lain yang setaraf dengannya. Semenjak itu saya kira, deruan anak muda dan remaja ke majlis ilmu semakin meningkat. Contoh dan teladan yang dibuat seolah-olah memberikan satu panadol kepada anak muda sehingga menyembuhkan mereka dari demam hedonisme yang mereka hidapi selama ini. Majlis ilmu kini menjadi trend anak muda dan menjadi keutamaan mereka dari perkara lain.

Saya mendengar satu peristiwa di mana sebuah perlawanan bola sepak yang diaturkan sekian lama di salah satu tempat di Melaka, ditunda penganjurannya kerana bertembung dengan majlis ilmu Ustaz Azhar Idrus pada malam yang sama. Anak muda sepakat menunda perlawanan itu kerana tidak mahu ketinggalan menghadiri majlis ilmu yang diadakan di perkarangan Madrasah Ar Rahmah, Ayer Molek, Melaka. Adik saya juga katanya, pernah terselamat daripada disaman oleh JPJ hanya kerana keretanya ditampal pelekat Ustaz Azhar Idrus dengan cagankata 'Jom Gi Kuliah'. Begitulah penangan majlis ilmu zaman kini!

Semoga Berjaya PAS!

Ramai yang bertanya dan mengkritik PAS berkenaan gaya kepimpinan Islam apa yang akan dibawa PAS sekiranya ditakdirkan memenangi Pilihanraya Umum ke 13 bersama gagasan Pakatan Rakyat. Rasanya modelnya sudah berada di hadapan mata, samada ingin melihat dengan mata hati atau ingin melihat dengan mata yang tertutup.

PAS akan menjalankan tanggungjawab sebagai salah satu bahagian daripada pemerintah dengan terus menerus melaksanakan dakwah yang menyeluruh kepada rakyat. Dengan bidang tugas pemerintah yang luas, peruntukan yang banyak dan jabatan-jabatan yang dikuasai akan digunakan sepenuhnya untuk menyerapkan Islam hingga ke akar umbi masyarakat. Jika di Selangor, kejayaan dakwah dapat dilihat dengan jelas dalam masa yang singkat dan kemudahan yang masih terbatal, insyaAllah di peringkat pusat kejayaan akan lebih gemillang jika semua peluang dakwah dimanfaatkan.

Manakala bagi perkara yang mungkin akan berlaku pertembungan dengan rakan politik di dalam Pakatan Rakyat, PAS akan terus bertegas pada perkara pokok yang memerlukan ketegasan dan akan menggunakan cara hikmah pada perkara cabang yang boleh dilaksanakan secara berperingkat. Rekod kejayaan PAS di Kelantan dan negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain akan dijadikan panduan untuk mengemudi jentera dakwah dan siyasah di peringkat pusat.

Ramai juga yang menganggap bahawa PAS jika menjadi suara minoriti akan sentiasa tunduk dengan tuntutan majoriti. Bagi saya, kata-kata ini tidak diteliti dari sudut pandangan politik yang betul. Di dalam politik, tidak bermakna minoriti itu kecil dan majoriti itu besar kerana adakala majoriti perlu tunduk kepada minoriti kerana minoriti itu tetap sebahagian daripada majoriti. Pengalaman 2008 mengajar kita bagaimana PAS yang merupakan minoriti di dalam DUN Selangor dan Perak, menjadi rebutan kedua-dua pihak kerana pihak mana yang PAS bergabung dengannya, merekalah menjadi pemerintah.

Dengan kebijaksanaan dan tawakkal yang ada pada pimpinan dan ulama dalam PAS, saya meyakini PAS mampu bergerak dengan cemerlang di dalam medan siyasah dan juga bidang kekuasaan kerajaan pusat kelak, tidak kira PAS itu minoriti atau majoriti. PAS yang dipandu oleh ulama dan dikendalikan oleh pemimpin yang pelbagai profesion mampu untuk menjadi pemerintah yang cemerlang untuk membawa negara ke arah 'baidatun thoyyibatun wa rabbun ghofur'.

Bagi mereka yang sering mengkritik cara dan dasar siyasah PAS, sila kemukakan model siyasah yang lebih baik dari apa yang PAS laksanakan sebelum pantas berkata itu ini. Bagi saya, dengan penelitian realiti dan apa yang PAS telah lakukan terhadap negara kita, tiada model lain yang lebih  baik dari model yang PAS tunjukkan dalam membawa Islam secara syumul di lapangan dakwah dan siyasah. Semoga berjaya PAS! 


Mohd Azrul Azuan bin Idris
3.53pm, 2 Januari 2013.

Tuesday, December 18, 2012

Beraninya Anda Mencerca Ulama?



Saya diberikan link oleh seorang sahabat berkenaan status seorang ulama (baca dengan makhraj 'ain yg betul) muda UMNO yang menggariskan senarai nama ulama ahlus sunnah dari Saudi, Yaman dan Jordan, tanpa mengambil walau satu nama di kalangan ulama Azhar, Syria dan Hadramaut. Dari komen dibawahnya, terbit kata-kata yang tidak mengiktiraf Sheikh Dr Yusuf Al Qardhawi dan mengatakan Azhar melahirkan ramai pelampau.

Saya tidak mahu balas kata-kata itu kerana berkata kepada orang yang sudah mendabik dada bahawa 'kami sahaja betul' hanya akan buang masa dan tidak mencambah minda. Malah akan menimbulkan rasa benci sesama umat Islam. Saya cuba nak bawa beberapa pengalaman yang saya dapat sejak berada di bawah lembayung Azhar.

Pertama, sejak saya di sini, tidak pernah saya mendengar mana-mana ulama Azhar mengecam secara serius dan prinsip akan madrasah pengajian Islam di Saudi. Yang saya pernah dengar adalah kritikan ilmiah yang melibatkan perbahasan ilmu di mana ianya termasuk di dalam proses pengajian ilmu yang tiada salahnya. 

Kedua, saya sama sekali tidak pernah mendengar mana-mana ulama Azhar mencerca mana-mana ulama di Saudi atau ulama yang berpegang dengan fahaman Wahabi. Malah jika ada di kalangan ulama Azhar ingin menyebut nama-nama ulama mereka, pasti akan diikuti dengan panggilan mulia seperti 'hafizahullah'.

Ketiga, sering juga para masyaikh Azhar di dalam pengajiannya memetik kalam ulama-ulama Saudi untuk dijadikan contoh di dalam pandangan-pandangan yang mereka rasakan betul. Jika ada pelajar bertanya berkenaan percanggahan pendapat ulama Wahabi dengan Azhar, maka sheikh akan menjawab dengan baik dan ilmiah.

Keempat, di dalam Universiti Azhar, terdapat juga segelintir pensayarahnya yang berfahaman Wahabi. Namun, tidak pula pihak pentadbiran Azhar membuang atau menekan mereka. Saya melihat ini sebagai bukti keterbukaan Azhar terhadap perbezaan pendapat di dalam ilmu.

Cukup empat contoh ini untuk kita fikirkan betapa sederhananya manhaj Azhar dan bagaimana ulama Azhar mengajar pelajarnya berfikir dan beradab. Manhaj Azhar adalah manhaj yang sederhana (wasatiah), mengajak kita berfikir, mengagungkan ilmu, meraikan perbezaan, memberi ruang untuk perbincangan dan perdebatan ilmu, mengutamakan adab, dan sangat menghormati madrasah ilmu Islam lain di seluruh dunia.

Manakala manhaj para ilmuan UMNO yang sering kita dengar adalah sangat berbeza dengan apa yang saya dapat di Azhar. Mereka sering keras di dalam pandangan, tidak meraikan perbezaan, melabel dan menghukum ulama yang tidak sealiran dengan mereka, merasakan pandangan mereka sahaja betul, dan juga sering mencerca madrasah ilmu Islam lain seperti Azhar dan Darul Mustafa.

Saya sendiri secara peribadi, apabila ditanyakan oleh kawan-kawan berkenaan Universiti Madinah, saya akan menjawab dengan jawapan yang baik dan menyatakan perbezaan yang saya tidak setuju dengan baik. Saya sama sekali tidak berani mengatakan secara pasti akan apa jua perkara negatif yang saya dengar berkenaan Universiti Madinah, jauh sekali ingin mencerca sistem pengajiannya.

Saya juga sangat takut untuk mengatakan apa jua komen berkenaan peribadi ulama Wahabi walaupun pada perkara yang dikritik hebat oleh para ulama lain. Seperti isu 'tiada jihad di Palestin', saya tidak setuju pada pendapat Sheikh Albani, tetapi saya sama sekali tidak berani untuk memperkatakan apa-apa berkenaan peribadinya.

Saya tidak bertindak untuk berkata perkara negatif berkenaan Universiti Madinah kerana saya tidak tahu keadaan sebenar di sana walaupun dikhabarkan secara bersanad sohih oleh sahabat-sahabat saya. Saya juga tidak berani mencerca mana-mana ulama Wahabi kerana saya sedar saya sangat jahil untuk dibandingkan dengan mereka. Ini yang saya belajar dari para ulama Al Azhar.

Maka, saya ingin bertanya kepada para Wahabiyun sekalian, adakah anda mengenali sepenuhnya manhaj Azhar dan para ulamanya sebelum anda mahu melabel apa jua label buruk kepada mereka? Adakah anda jauh lebih berilmu dari Sheikh Dr Yusuf Al Qardhawi, Habib Umar Al Hafidz, dan para masyaikh Azhar hinggakan anda dengan yakin mengatakan mereka adalah khawarij, ahli bidaah dan pelampau.

Benarlah kata-kata Al Allamah Al Mahbub Habib Ali Al Jufri yang menukilkan bahawa di mana adanya akhlak yang mulia, di situlah ada agama dan ilmu. Manakala di mana tiadanya akhlak yang mulia, maka sama sekali tiada nilai agama dan ilmu di situ. Tidak mungkin adanya nilai agama jika tanpa akhlak.

Saya seru kepada mereka yang berkenaan, kembali kepada akhlak Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Berlapang dadalah dengan mereka yang tidak sealiran dengan anda, raikanlah perbezaan, hentikanlah label dan menghukum dan hormatlah orang yang lebih berilmu dari anda walau bagaimana salah pun mereka di sisi pandangan anda. Kerana, mungkin mereka mengetahui perkara yang anda tidak ketahui.

Jika masih berdegil dengan kekerasan hati anda, saya ingin bertanya satu soalan. Mampukah anda bertemu dengan para ulama yang anda cerca ini, menyenaraikan padanya satu persatu umpatan anda padanya dan memohon maaf atas segala umpatan itu? Jika rasa mampu, silakan untuk berterusan dengan sikap itu. Saya ucapkan selamat berdebat dengan para ulama itu di hadapan Allah di Padang Mahsyar kelak.


Mohd Azrul Azuan bin Idris.
7.17 pm, 18 Disember 2012

Thursday, December 13, 2012

Isteri Cermin Buat Suaminya


Timbul di news feed Facebook saya berkenaan satu artikel di dalam satu web milik sebuah NGO di Malaysia berkenaan pandangan perkahwinan antara lelaki jemaahnya dengan wanita luar dari jemaahnya. Digelarkan di situ perkahwinan ikhwah dengan bukan akhwat. Mungkin itu panggilan istilah yang mereka gunakan. Namun, di situ pun saya merasa sedikit janggal kerana bukankah semua wanita muslim itu akhwat kita?

Kita tinggalkan persoalan itu. Cuma saya rasa terpanggil untuk memberikan komentar berkenaan isi yang ditulis di dalamnya yang bagi saya ada beberapa bahagian yang tidak dipersetujui. Pertama sekali apabila kita bicarakan soal jodoh, maka kita mestilah memahami bahawa ianya termasuk di dalam persoalan qada' dan qadar yang telah diaturkan oleh Allah sejak kita lahir. Siapakah jodoh kita, ianya telah tertulis sejak azali.

Saya sendiri tidak pernah menyangka sejak kecil, bahawa saya yang tinggal di Melaka akan bertemu jodoh dengan isteri tercinta saya yang tinggal di Pulau Pinang. Ada seorang rakan saya yang mulia, kisah cintanya lebih dramatik. Dia yang tinggal di Kajang, Selangor akhirnya bertemu jodoh dengan isterinya seorang muslimah di Kaherah, Mesir. Ianya adakala pelik bagi kita, tetapi tidak bagi Allah, pengatur jodoh pertemuan buat hamba-hambaNya.

Panduan Mencari Jodoh Oleh Rasulullah

Rasanya semua kita arif berkenaan sebuah hadith yang menggariskan ciri-ciri wanita yang perlu dicari oleh lelaki yang ingin berkahwin, iaitu rupanya, hartanya, keturunannya dan agamanya, maka ciri agamanya itu lebih utama dari ciri yang lain. Kemudian disyarahkan oleh para ulama dengan menambahkan sedikit lagi ciri-ciri sampingan yang juga perlu diambil kira untuk melengkapkan lagi panduan mencari jodoh seperti sekufu, pekerjaan yang sama, tahap pendidikan yang sama dan lain-lain.

Perlu difahami di sini, segala panduan yang digariskan adalah merupakan panduan ikhtiar yang perlu dilakukan oleh kita sebagai orang Islam, di mana Islam menekankan kita untuk berikhtiar sebagai asbab untuk memperoleh sesuatu. Namun, panduan ini bukan merupakan kewajipan ataupun ketetapan yang mesti diikuti secara adat oleh kita, hinggakan sekiranya panduan ini tidak dipatuhi, maka perkahwinan itu akan dikira sebagai tidak sempurna dan tidak secocok.

Ini adalah kerana, hal ehwal jodoh adalah ketetapan Allah dan kita sebagai manusia tidak boleh mengatakan ketetapan yang Allah gariskan ini sebagai tidak sempurna hanya kerana bercanggah dengan pandangan zahir kita. Walaupun kita mempunyai penilaian kita sendiri, tetapi kita diajar bahawa apa jua yang ditetapkan oleh Allah adalah terbaik untuk kita dan menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan ia sebagai baik jika ia tidak sempurna di sudut pandangan kita.

Pertautan Dua Hati

Cinta tidak mengenal siapa. Itu ungkapan yang popular kita dengar. Di dalam Islam, kita diajar apabila menemui wanita yang kita sukai, maka lihat dahulu ciri yang digariskan oleh Rasulullah SAW terutamanya pada agamanya. Sekiranya agamanya adalah baik dan terjaga, kemudian terdapat ciri-ciri lain yang tidak seperti yang kita harapkan, maka terimalah cinta itu seadanya kerana cinta yang berlandaskan iman itu mampu untuk mengatasi perbezaan yang lain.

Iman adalah matlamat utama, manakala ciri lain adalah pelengkap. Jika semua kita ingin mencari wanita yang lengkap dan menepati semua ciri-ciri yang digariskan ulama, dibimbangi kesibukan mencari kesempurnaan itu akan mengatasi kewajipan berkahwin itu sendiri. Selain rupa paras dan keturunan yang digariskan Rasulullah yang tidak boleh diubah, semua ciri lain adalah bersifat mendatang yang boleh kita capai dengan usaha kita selepas perkahwinan, dan itulah antara tujuan utama perkahwinan iaitu perkara yang tidak sempurna boleh disempurnakan oleh pasangannya.

Maka, apabila kita telah menemui wanita yang kita sukai dan agamanya adalah baik dan terjaga, maka usahalah ke arah perkahwinan dan atasilah semua perbezaan. Ini adalah kerana semua perbezaan itu adalah lumrah kehidupan manusia yang akan sentiasa wujud tanpa henti. Malah, semua perbezaan ini mampu diuruskan dengan baik hasil kekuatan dan keikhlasan cinta kita yang ingin disatukan mengikut jalan yang diredhai Allah.

Mendidik Isteri Dan Membantunya Adalah Tanggungjawab Suami

Ramai yang berpegang kepada pandangan bahawa perkahwinan seorang lelaki adalah untuk mengurangkan bebanan pada dirinya, di mana setelah berkahwin, si isteri akan membantu menguruskan dirinya. Benar, itu antara hikmahnya, tetapi bukan matlamat utama perkahwinan. Perkahwinan adalah perkongsian tanggungjawab di mana si suami juga memiliki tanggungjawab untuk menjaga dan membantu isterinya. 

Adalah teramat salah apabila kita beranggapan jika isteri tidak mampu menanggung tugasan di rumah dan mendidik anak, lalu meminta si suami untuk membantunya, ianya akan mengurangkan produktiviti dakwahnya. Anggapan ini jika kita jadikan sebagai pegangan, maka kita akan menganggap bahawa membantu isteri menguruskan anak dan rumah tangga, adalah perkara yang membebankan dan mengganggu tugasan suami di lapangan dakwah, sedangkan hakikatnya ianya bukan beban tetapi tanggungjawab!

Saya teringat kalam Al Allama Al Mahbub Habib Ali Al Jufri yang mengatakan bahawa terdapat suami yang selalu berkata "pemerintahan Islam, dakwah Islam, bla...bla...bla..." dan tidak memberikan tumpuan kepada rumah tangganya. Maka, hendaklah dipanggil si suami itu dan berkata padanya "setiap dari kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab ke atas apa yang berada di bawah tanggunganmu (mafhum hadith)". Maka isteri, anak dan keluarga kamu juga termasuk di dalam tanggungjawab yang sama besar dengan apa yang kamu selalu laungkan itu.

Pendapat asal di dalam Mazhab Syafie juga menegaskan bahawa tanggungjawab isteri kepada suami hanya pelayan dan penghiburnya sahaja. Manakala semua makan minum, pakaian dan menjaga anak-anak adalah tanggungjawab si suami. Jika si suami tidak mampu menguruskannya, maka wajib bagi si suami menggajikan pembantu untuk menguruskannya. Namun, pendapat dan fatwa ulama mazhab Syafie selepasnya memberikan keringanan kepada suami dan menetapkan tanggungjawab pengurusan rumah tangga dan anak-anak juga perlu diuruskan oleh isteri.

Cukup dua contoh ini memberikan gambaran kepada kita betapa suami juga memiliki tanggungjawab secara syarie terhadap isterinya dan tanggungjawab ini sama besar dengan tanggungjawab dakwah dan jihad amar makruf nahi mungkar. Si isteri, jika dia masih mampu menguruskan rumah tangga sendirian, pastinya dia tidak akan meminta suaminya untuk turut bersama membantunya. Namun, jika kita mendapat seorang isteri yang sakit, mempunyai penyakit yang tidak mampu untuk membuat kerja-kerja berat, maka adakah patut kita menganggap isteri itu sebagai beban dan meninggalkannya untuk mengutamakan urusan dakwah?

Perlu difahami di sini, jika berlaku pertembungan antara tanggungjawab rumah tangga dan dakwah, selagi tuntutan dakwah itu tidak mencapai hukum fardhu ain, maka si suami perlu mengaulakan keluarganya kerana keluarga tiada sesiapa yang boleh dijadikan tempat bergantung selain darinya, sedangkan jemaah dakwah kita memiliki ramai pembantu yang mampu menguruskan kerjanya. Di sinilah terletaknya cabaran kepimpinan suami untuk mengatur masa dan tenaga bagi memastikan tangungjawab terhadap keluarga dan dakwah dapat dijalankan seiring dengan jayanya.

Tanggungjawab Suami Adalah Rahmat dan Pengikat Cinta

Jangan sesekali kita menganggap bahawa tanggungjawab itu adalah beban. Jika kita menganggap begitu, maka ianya akan menjadi beban kepada kita. Tanggungjawab adalah amanah oleh Allah, di mana jika kita melaksanakan dengan baik dan ikhlas, kita akan beroleh pahala dan Allah akan membantu kita untuk melaksanakannya.

Cinta yang sejati adalah cinta yang memberi, bukan sekadar menerima. Jika kita selesa dan rasa ringan dengan khidmat yang isteri kita berikan kepada kita, maka bantuan dan perhatian yang kita berikan kepadanya merupakan pengikat cinta dan kasih suami isteri. Maka, kita yang sibuk dengan dakwah, jika terdapat permintaan isteri berkaitan dengan hal ehwal rumah tangga yang perlukan perhatian kita, hendaklah kita memandang permintaan itu dengan penuh kasih sayang dan memenuhinya dengan baik. Jadikan tugasan membantu isteri ini sebagai satu kerja yang menghiburkan dan menjadi sumber kekuatan kita untuk berkerja di dalam medan dakwah. Tidakkah itu satu kemanisan hidup rumah tangga?

Kita sebagai suami perlu memahami jiwa dan naluri seorang isteri. Lelaki sifatnya adalah mementingkan fungsi, manakala wanita mementingkan estatika. Di dalam menguruskan rumah tangga, jika si isteri meminta si suami membantunya, sebenarnya si isteri tidak mengharapkan si suami untuk membantu sehingga selesai semua kerjanya. Jika itu yang diharapkan, suami sebagai orang yang mementingkan fungsi dan penyelesaian masalah, boleh menggajikan pembantu untuk menolong isterinya.

Namun, yang dikehendaki oleh isteri adalah perhatian dan kebersamaan. Mungkin kita sebagai orang yang sibuk memandang dakwah itu kerja yang besar, adakala memandang tugas memenuhi naluri si isteri ini adalah tugas kecil yang perlu diatasi sendiri oleh isteri dengan berkorban dan memahami tugas suami. Kalau begitu, apa tujuan kita berkahwin? Adakah untuk memudahkan diri kita sahaja sedangkan keperluan perkahwinan si isteri iaitu memenuhi nalurinya tidak kita endahkan.

Rasulullah SAW adalah pemimpin dakwah yang paling sibuk. Kesibukan baginda bukan sahaja urusan dakwah, malah urusan negara, urusan wahyu, urusan para jin dan makhluk lain juga berada di bawah tanggungan baginda. Baginda juga memiliki sembilan isteri yang pastinya mempunyai ragam-ragam yang berbeza. Namun, baginda tidak pernah mengajar untuk memandang ragam, masalah dan membantu isteri sebagai beban. Baginda sendiri mengaturkan masa baginda dengan baik hinggakan produktiviti baginda di dalam tugas dakwah tidak berkurang, malah makin bertambah lantaran berkat dan rasa terhibur hati yang dicapai semasa bersama isterinya.

Isteri Cermin Buat Suaminya

Apabila seseorang pendakwah mendapat isteri yang kurang kefahaman dakwah sepertinya, kita sering memandang kurang faham si isteri itu sebagai kelemahannya yang akan menganggu kerja dakwah kita. Saya sangat kasihan pada isteri yang menerima nasib begini. Sedangkan, tahukah kita kurang faham isteri itu memerlukan kita untuk memimpinnya? Naluri isteri mana yang tidak mendambakan kepimpinan suaminya terhadapnya? Mengapa kita mampu untuk berkorban siang malam kerana untuk berdakwah kepada anak usrah kita dan ahli jemaah kita, tetapi tidak pula kepada isteri kita? Sangat pelik bukan sikap begini.

Ingatlah, siapakah isteri kita, itulah cermin buat kita. Isteri merupakan pantulan imej kejayaan dakwah si suami. Jika kita mengatakan isteri kita seorang yang tidak faham dakwah, maka kata-kata itu akan terpantul kepada kita sebagai daie yang gagal berdakwah pada isterinya sendiri. Tanggungjawab dakwah kita terhadap masyarakat adalah fardhu kifayah di mana jika sudah ada pihak yang menjalankan tanggungjawab itu, kita telah terlepas darinya. Tetapi tanggungjawab dakwah kita terhadap isteri kita adalah fardhu ain, tidak akan terlepas selamanya hingga ke Padang Mahsyar dan di pintu neraka!

Alasan tidak mampu berdakwah kepada isteri kerana sikap isteri yang tidak mahu menerima adalah alasan yang tidak boleh diterima. Jika kita mampu menghimpunkan sekian ramainya ahli di dalam jemaah kita, dalam keadaan kita berjumpa mereka hanya seminggu sekali di dalam usrah, bagaimana kita boleh gagal mendidik isteri yang kita temui setiap hari, setiap masa di dalam rumah kita. Jangan mengatakan gagal jika kita belum berusaha, dan usaha dakwah kepada isteri ini adalah terbuka hingga ke akhir hayat kita.

Isteri Jalan Suami Ke Syurga

Kepada mereka yang mendapat isteri yang kurang kefahaman dakwah, yakinlah, dakwah kepada isteri adalah jalan yang mampu membawa si suami ke syurga. Dengan mendidik isteri, didikan itu akan terpantul pada anak-anak kita. Mendidik isteri bukan seperti mendidik orang awam, mendidik isteri perlulah dengan hikmah dan kasih sayang. Jangan ditekankan dahulu perkara yang sunat dan tahsiniyat, jagalah perkara wajib yang perlu dilakukan si isteri. Ketahuilah, menekankan perkara sunat kepada orang yang baru berjinak dengan dakwah adalah faktor utama kegagalan dakwah.

Jangan mendidik isteri dengan arahan dan mewajibkan itu ini, didiklah dengan qudwah hasanah dari diri kita sendiri. Sesungguhnya, 80% kejayaan dakwah adalah hasil qudwah hasanah yang lebih memaut hati manusia untuk mendekati Islam dan dakwah daripada berkata-kata. Apa jua kelemahan isteri di mata kita, itulah isteri kita yang kita cintai dan akan hidup dengannya hingga kahir hayat. Terimalah isteri seadanya dan usahalah untuk mendidiknya hingga ke pintu syurga.

Mendidik isteri penuh dengan seribu satu ragam, maka sabarlah dan teruskan berdakwah. Yakinlah, pahala yang kita akan dapat jika kita mampu mendidik isteri kita menjadi seorang muslimah solehah, yang mentaati agama dan menyusuri jalan dakwah, jauh lebih besar daripada pahala yang kita perolehi di dalam dakwah kita kepada masyarakat.

Alhamdulillah, Allah kurniakan saya seorang isteri yang menyejukkan mata, mendamaikan jiwa dan menenangkan hati. Dalam saya mendidik isteri saya, saya juga terdidik dengan sifat-sifatnya yang mulia. Semoga kita bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita melalui isteri kita, tidak kira walalu siapapun dirinya, dialah isteri kita yang kita cintai dan telah terpikul amanah untuk mendidiknya di bahu kita sejak kita melafazkan "aku terima nikahnya...".


Mohd Azrul Azuan bin Idris
12.03 pm, 13 Disember 2012.